Wednesday, March 4, 2009

Plasenta Previa Mengancam Nyawa

Pendarahan semasa hamil adalah perkara yang perlu anda ambil serius
  • Semua masalah pendarahan melalui faraj adalah merbahaya kepada ibu mengandung dan ia memerlukan rawatan segera.
  • Sebab-sebab paling utama pendarahan yang serius di akhir pertengahan kehamilan ialah abrupsi plasenta dan plasenta previa yang boleh mengancam nyawa ibu dan bayi dalam kandungannya.
  • Plasenta previa dikatakan terjadi apabila plasenta atau uri berada di bahagian bawah rahim menyebabkan bukaan pangkal rahim/servik tersekat.

Insidens atau kejadian plasenta previa ialah satu bagi setiap 250 kehamilan. Insidens ini berganda bagi kehamilan kembar seperti kembar dua dan tiga. Wanita berumur lebih dari 30 tahun lebih cenderung mendapat plasenta previa.

Apakah jenis-jenis plasenta previa?

Image

Plasenta previa boleh terjadi secara lengkap, separa, pinggir, atau mendatar.

  1. Previa lengkap (sepenuhnya) bermaksud uri menghalang keseluruhan bukaan pangkal rahim
  2. Previa separa bermaksud hanya sebahagian uri menghalang bukaan pangkal rahim.
  3. Previa pinggir bermaksud uri berada sedikit sahaja di bahagian bukaan pangkal rahim dan tidak menghalang bukaan tersebut.
  4. Previa mendatar ialah keadaan di mana uri berada berhampiran dengan bukaan pangkal rahim.

Previa lengkap boleh mengancam nyawa, kerana itu bayi perlu dilahirkan melalui pembedahan Caesarean bagi mengelakkan pendarahan yang banyak jika cuba dilahirkan melalui saluran faraj biasa.

Faktor Risiko

Punca sebenar plasenta previa tidak diketahui, tetapi ia lazimnya dikaitkan dengan beberapa faktor yang meletakkan wanita dalam keadaan berisiko tinggi:
  1. Wanita berumur 35 tahun ke atas.
  2. Kehamilan kembar.
  3. Pernah didiagnos mengalami plasenta previa pada kehamilan terdahulu.
  4. Pernah melalui pembedahan rahim termasuk D & C(pendilatan dan pengkuretan).

Kesemua faktor ini mengundang bahaya terhadap bayi anda seperti kelahiran pramatang, tumbesaran dalam kandungan terbantut dan meningkatkan risiko kematian janin sebelum atau selepas kelahiran.

Gejala

Gejala yang lazimnya berlaku ialah:
  • Pendarahan faraj yang tidak sakit.
  • Renjatan (peluh dingin, kulit lembab, pernafasan cepat, kadar denyutan nadi yang cepat, rasa mengantuk dan tidak sedar diri).
  • Bersalin pramatang (sakit di bahagian abdomen dan pengecutan rahim).

Mujurlah, plasenta previa boleh dikesan sewaktu menjalani pemeriksaan rutin ultrasound. Anda mungkin mengalami plasenta previa buat pertama kalinya jika anda merasai satu atau kesemua gejala berikut:

  • Pendarahan faraj secara tiba-tiba dan banyak tetapi tidak sakit.
  • Faraj berdarah merah terang yang mungkin disebabkan oleh pengecutan rahim.
  • Pendarahan berbentuk gumpalan darah beku berwarna merah keperangan atau gumpalan darah beku berwarna merah terang keluar dari faraj. Lazimnya terjadi di antara minggu ke 30 - 34 kehamilan.
  • Pendarahan selepas persetubuhan atau selepas pemeriksaan pelvis.
Komplikasi

Bayi akan menghadapi risiko yang lebih besar, oleh itu doktor anda akan melakukan kelahiran lebih awal (selalunya pada minggu ke 38).

Beberapa komplikasi plasenta previa termasuklah:
  • Pendarahan yang berlebihan selepas kelahiran
  • Turisan Caesarean akan dibuat pada tempat yang sama dengan kedudukan plasenta previa dalam rahim untuk melahirkan bayi. Ini bermakna, uri atau plasenta tersebut dipotong pada waktu yang sama dengan kelahiran menyebabkan pendarahan bagi kedua-dua ibu dan bayinya. Doktor biasanya akan cuba mengelak dari memotong uri.
  • Pendarahan berlebihan selepas kelahiran bayi dan uri
    Keadaan ini dipanggil pendarahan postpartum. Ini disebabkan kesukaran ibu yang menghidap plasenta previa mengecutkan bahagian bawah rahimnya. Bila ini terjadi pembuluh darah akan terbuka dan berdarah.
  • Plasenta yang melekat secara abnormal - akreta
    Selalunya, uri jenis ini boleh berfungsi secara normal semasa hamil. Walau bagaimanapun, apabila tiba masanya untuk dipisahkan dari dinding uri, selepas kelahiran, ianya tidak dapat dilakukan. Biasanya, pembedahan histerektomi akan dilakukan kerana kesukaran untuk mengeluarkan uri yang boleh menyebabkan pendarahan.
Ujian

Ujian-ujian yang mungkin dijalankan termasuklah:

Pengimbasan ultrasound

Plasenta previa boleh dikesan melalui penggunaan peralatan ultrasound. Kebanyakan kes dapat dikesan menggunakan teknik ini walaupun di peringkat kehamilan yang lebih awal. Jika uri menutup bahagian bawah rahim semasa 7 bulan mengandung, diagnosis plasenta previa akan dibuat.

Rawatan

Rawatan bergantung pada peringkat kehamilan dan jumlah pendarahan yang berlaku:
  • Jika kehamilan anda berusia 35 minggu atau lebih, doktor mungkin melakukan pembedahan Caesarean. Walau bagaimanapun, jika pendarahan berlaku sebelum tempoh ini, anda mungkin diminta untuk berehat di hospital dan diberi rawatan konservatif.
  • Berbaring dan berehat di tempat tidur adalah rawatan yang terbaik untuk mengelakkan pengecutan rahim yang boleh menyebabkan pendarahan.
  • Jika kehamilan anda berada dalam minggu ke 28 atau lebih dan anda mengalami plasenta previa, tetapi tidak berdarah, doktor mungkin menasihat anda supaya berehat dan berhenti dari melakukan kerja-kerja berat. Jika pendarahan berlaku, anda mungkin dimasukkan ke hospital untuk dipantau dan diberi rawatan lanjutan, jika perlu.
  • Anda mungkin diperiksa untuk mengesan anemia dan kesesuaian kumpulan darah sekiranya timbul keperluan untuk pemindahan darah.
  • Jika anda mengalami pendarahan, doktor mungkin terpaksa memasukkan cecair melalui vena (IV) di lengan anda.
  • Kadar denyutan jantung bayi anda akan dipantau dan kiraan sel darah anda akan diawasi dari masa ke semasa.
  • Cuba elakkan dari melakukan persetubuhan atau melalui pemeriksaan pelvis kerana ini boleh menyebabkan pendarahan.
Sumber : Ratuhati

No comments: