Wednesday, March 4, 2009

Epidural Kurangkan Sakit Bersalin?

Suntikan epidural diberi apabila pesakit mula menunjukkan tanda hendak bersalin. Epidural menahan kesakitan bersalin dengan menghalang buat sementara waktu saraf yang bermula dari rahim ke otak.

Antara faktor yang menambah kesakitan ketika bersalin:

  • kelahiran anak pertama
  • induksi bersalin (penambahan ubat Pitocin) untuk mempercepatkan bersalin
  • kehamilan pada usia muda
  • obes dan
  • kesakitan tulang belakang sewaktu datang haid.

Epidural tidak digalakkan untuk:

  • ibu yang acap kali bersalin
  • ibu dengan bukaan servik telah mencapai 8 sentimeter
kerana tempoh bersalin sangat cepat dan faedah suntikan epidural kurang bermakna.

Kebaikan suntikan epidural

  • menahan kesakitan pada peringkat pertama dan kedua kelahiran
  • tidak memberi kesan mengantuk pada ibu
  • memberi bius untuk kelahiran secara forceps, jahitan episiotomi dan
  • meneruskan khidmat pembiusan jika memerlukan kelahiran secara pembedahan caesarean.
  • menyebabkan salur darah mengembang, melancarkan peredaran darah kepada bayi dan secara tidak langsung mengurangkan risiko bayi lemas
  • ibu yang ada masalah kesihatan seperti sakit jantung dan tekanan darah tinggi, epidural adalah ubat tahan sakit paling selamat dan sangat diperlukan.

Bagaimana suntikan epidural diberi?

  • Image Ibu mengandung akan diminta duduk atau mengiring mengikut keselesaan masing-masing selepas penerangan mengenai epidural diberikan.
  • Kemudian satu tiub halus (diameter berukuran 0.45 milimeter) dimasukkan ke bahagian belakang (lumbar) ibu dengan suntikan jarum di kawasan epidural (luar kawasan saraf tunjang dan cecair meninges).
  • Sebelum itu, suntikan ubat bius setempat diberi di kawasan kulit tempat suntikan jarum. Kemudian jarum epidural dialihkan dan meninggalkan tiub halus di kawasan epidural.
  • Melalui tiub halus ini, kadar pengaliran ubat bius — biasanya bupivacaine atau ropivacaine — memberi kesan kebas pada saraf yang meliputi kawasan rahim dan servik.
  • Kebanyakan orang dapat merasai suntikan pertama, tetapi hanya segelintir berasa gelisah. Ramai wanita langsung tidak merasai tiub yang dipasang di belakang badan.
  • Tiub ini dikeluarkan selepas bayi dilahirkan atau selepas jahitan episiotomi. Jika ibu terpaksa menjalani pembedahan caesarean, pembiusan epidural ini diteruskan sehingga selepas pembedahan.

Epidural tidak diberi kepada mereka yang ada

  • risiko pendarahan seperti mereka yang ada haemofilia, sepsis (jangkitan kuman dalam darah)
  • jangkitan pada kulit di bahagian belakang badan
  • pesakit jantung yang mengambil ubat mencairkan darah seperti warfarin dan aspirin
  • wanita lumpuh
  • mereka yang pernah melakukan pembedahan tulang belakang.


Lagi perkara yang anda perlu tahu:

Kira-kira 14 peratus wanita mengeluh mendapat sakit belakang kronik selepas bius epidural. Bagaimanapun, senario itu wujud di kalangan wanita yang mendapat suntikan epidural untuk menahan sakit bersalin dan bukan bius untuk pembedahan. Kerana, posisi untuk bersalin berbeza dengan puan yang melalui proses pembedahan. Apa yang boleh dikaitkan dengan proses bius ketika bersalin secara pembedahan adalah ketika sesi bius itu, ia menahan proses sensasi motor dan ini mungkin menyebabkan kedudukan atau posisi puan ketika proses atau selepas pembedahan dalam keadaan yang boleh mengakibatkan sakit belakang yang kronik. - Dr Fairuz A’shikin Abd Kadir, Pakar Perbidanan & Sakit Puan, DEMC

  • Epidural tidak menjamin 100% dapat mengurangkan kesakitan kerana kadangkala faktor posisi ketika pemberian epidural dan abnormaliti pada struktur tulang belakang yang bengkok (kifosis dan skoliosis) menyebabkan kesukaran mendapat posisi jarum epidural di kawasan lumbar tulang belakang.
  • Kadangkala, kekebasan hanya dirasai di sebelah badan. Ibu mengandung perlu mengalih posisi baring ke arah berlainan supaya mendapat kekebasan menyeluruh.
  • Selepas suntikan epidural, kekerapan pemeriksaan tekanan darah ibu, degupan jantung bayi, kadar kontraksi rahim diberi lebih perhatian bagi menjamin keselamatan ibu dan bayi.
  • Kebanyakan wanita yang memilih suntikan epidural menyatakan ia memberi kelegaan kesakitan. Hampir semua yang pernah diberi suntikan epidural ingin melakukannya sekali lagi pada masa depan. Kajian membuktikan epidural tiada kesan sampingan jangka panjang.
  • Dakwaan bahawa epidural menyebabkan sakit belakang adalah tidak benar. Ini kerana selepas bersalin normal tanpa epidural pun, sakit belakang tetap wujud disebabkan faktor berat badan, regangan pada kulit dan otot, serta postur ketika mengandung.
Kesan Sampingan:
  • tidak selesa akibat kekebasan pada bahagian bawah badan.
    - biasanya kebanyakan wanita dapat menerimanya sebagai ketidakselesaan sementara.
  • boleh menyebabkan tekanan darah rendah (hipotensi) dan tidak dapat membuang air kecil dengan sendiri (mungkin memerlukan tiub kencing).
    - biasanya pakar bius memberi ubat bius epidural berdos rendah yang berkesan untuk mengelak masalah ini.
  • sebahagian ubat bius epidural boleh menyebabkan kegatalan kulit
    - ini dapat diatasi dengan menukar jenis ubat bius atau dirawat dengan ubat.
  • Kurang 1/1000 orang mungkin mendapat jangkitan kuman pada kawasan epidural.
    - biasanya ia tidak berlaku kerana prosedur epidural dilakukan dalam keadaan steril.
  • ada juga mengadu mengalami sakit kepala yang kuat (‘Post Dural Puncture Headadche’ )
    - prosedur epidural yang sukar yang menyebabkan berlaku kebocoran pada kawasan cecair meninges.
    - atasi dengan berehat dan minum air secukupnya dan mengambil ubat tahan sakit seperti paracetamol. Jarang sekali ia memerlukan rawatan perubatan lain.
Sumber : Ratuhati

No comments: