Tuesday, June 23, 2009

Suami isteri perlu ucap I Love You

Daripada mafhum ayat di atas sesungguhnya Allah menjelaskan bahawa di antara hikmah pernikahan antara lelaki dan wanita itu supaya dapat diwujudkan perasaan saling mencintai dan mengasihi di antara mereka.

Oleh kerana itu, Rasulullah turut menganjurkan kepada umatnya untuk menikahi seorang wanita yang dapat mewujudkan mawaddah (kasih sayang) dan rahmah dalam rumah tangganya.

Dewasa kini, penceraian di kalangan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga sangat berleluasa yang dikhuatiri menjadi trend dalam masyarakat Islam.

walaupun penceraian dibenarkan dalam Islam tetapi ia merupakan satu perkara halal yang dibenci oleh Allah. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW maksudnya: "Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak". (riwayat Abu Daud dan Hakim)

Sesungguhnya perkahwinan bukan sekadar untuk melampiaskan nafsu yang ada di dalam diri, bukan setakat untuk melahirkan zuriat penyambung keturunan. Perkahwinan adalah sebagai satu mahligai cinta dan lambang kasih sayang.

Menyedari hakikat itu, bahagian Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menganjurkan seminar Rumahku Syurgaku 'Sanjungan Kasih Syurga di Hati' di Putrajaya, baru-baru ini.

Ia bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya ilmu kekeluargaan serta memantapkan institusi keluarga dalam mendepani ancaman dan cabaran globalisasi.

Dalam seminar yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Puspanita Kebangsaan, Puan Sri Noorlina Wan Hussain, satu forum bertajuk 'Dua Jiwa Satu Hati' turut diadakan.

Ahli panel terdiri daripada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Aluwi Parman dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kesuma Jakim, Zawiah Hassan.

Mengulas perbezaan dua jiwa yang disatukan dalam ikatan perkahwinan, Zawiah berkata, keserasian antara mereka boleh dibentuk melalui sikap tolak ansur, kasih sayang, cinta dan rindu yang Allah letakkan dalam setiap jiwa manusia di samping sifat belas kasihan dan bergaul mesra antara mereka.

Menurutnya, di awal perkahwinan sikap kasih sayang dan saling cinta-mencintai mudah ditonjolkan tetapi sikap sedemikian semakin pudar dan hilang apabila usia perkahwinan memasuki fasa tahunan.

Sehubungan itu, Zawiah berkata, perkahwinan boleh dikekalkan apabila pasangan selalu mempraktikkan ungkapan-ungkapan kasih kepada pasangan masing-masing seperti ucapan I Love You sekurang-kurangnya tujuh kali sehari.

"Dalam hal ini, pihak suami dikatakan amat payah untuk mengucap ungkapan sebegini tetapi sebenarnya amalan seperti itu amat penting bagi menunjukkan penghargaan kepada pasangan masing-masing.

memanggil pasangan

"Suami isteri perlu sentiasa berkomunikasi baik, bergurau mesra dan memanggil pasangan dengan panggilan hebat seperti sayang, abang dan sebagainya sebagaimana Rasulullah memanggil isterinya, Siti Aisyah dengan panggilan Humairah (pipi merah)," katanya.

Suasana kasih sayang dalam perhubungan suami isteri perlu lahir dalam hati yang ikhlas bukan paksaan. Suami isteri perlu memainkan peranan masing-masing untuk memupuk perasaan itu agar ia sentiasa mekar dalam jiwa dan membuahkan keserasian dan kemesraan.

Dalam konteks itu, Aluwi berkata, setiap pasangan perlu mencari kelainan dalam diri pasangan mereka dan menjadikan kelainan itu sebagai satu keserasian.

Menurutnya, ada tiga cara untuk menerbitkan keserasian antara mereka iaitu dengan mengadakan sembahyang berjemaah, makan makanan yang dimasak oleh isteri serta tidur bersama bukan sekadar melakukan hubungan intim.

"Sesungguhnya dosa suami isteri akan gugur di celah-celah jari apabila mereka bersalaman selepas sembahyang berjemaah sekiranya berlaku pertelingkahan di dalam rumah tangga," katanya.

Melalui pernikahan, seseorang itu akan mendapatkan banyak kemaslahatan daripadanya seperti memelihara kehormatan, mencegah dari perbuatan zina, memelihara pandangan serta menyambung generasi.

Aluwi menambah, seseorang itu akan mendapat banyak ganjaran pahala daripada Allah walaupun sekadar menatap wajah suami atau isteri masing-masing.

"Ada lima perkara apabila kita menatapnya akan mendapat pahala iaitu melihat Kaabah, mushaf al-Quran, melihat wajah ibu bapa, orang alim dan memandang wajah suami isteri dengan penuh kasih sayang," katanya.

Dalam pada itu, Aluwi memberitahu, terdapat empat tanda kebahagiaan dalam kehidupan seseorang iaitu mempunyai isteri solehah, anak-anak yang baik, pergaulan dengan orang-orang yang baik dan mendapat rezeki di tanah air sendiri.

"Isteri yang solehah itu diertikan apabila kamu memandangnya kamu akan rasa terhibur, sentiasa mentaati suaminya selagi tidak bertentangan dengan syariah dan menjaga kehormatan diri dan suaminya," katanya.

Dalam menyusun keluarga yang tenteram dan sejahtera, Islam berpandu kepada dua prinsip iaitu didikan yang mengukuhkan kesedaran beragama dengan disuburkan perasaan taat kepada Allah, tidak menganiaya sesama manusia, belas kasihan, bertimbang rasa dan sebagainya.

Undang-undang dan peraturan yang menentukan kewajipan, hubungan antara suami isteri juga menjadi asas selain kewajipan terhadap anak-anak, nafkah, peraturan jika berlaku perselisihan, penceraian dan sebagainya.

Kepincangan dan kegelisahan yang banyak berlaku di dalam keluarga Islam hari ini adalah kerana pembentukannya tidak memenuhi kehendak-kehendak Islam serta jahil mengenai hukum-hukum berkaitan hubungan antara mereka dan tanggungjawab terhadap anak-anak.

Sumber : Utusan

Thursday, May 14, 2009

Memejalkan dan Menegangkan Payudara yang Kendur dan Membanyakkan Susu Ibu

Daun Sirih Menegangkan Payudara dan Membanyakkan Susu Ibu







Petua ini untuk memastikan payudara cantik membulat walaupun masih menyusukan anak.

Ambil beberapa helai daun sireh.
Layurkan atas api seperti melayur daun pisang.
Agak-agak dah panas (jangan sampai terbakar plak daun sireh tadi), tekapkan pada payudara. Buat seperti bentuk cup bra, tapi jangan menutup nipple. Buat pada kedua-dua belah payudara.
Lepas tu pakailah coli seperti biasa.
Pakai daun sireh nie dalam 2 - 3 jam gitu
Kalau rajin buat hari-hari (pupus daun sireh nanti)
kalau tak rajin selang sehari.

Kepanasan daun sireh ini mampu merangsang otot-otot sekitar payudara, memejal dan memontokkan apa-apa yang patut. Lagi best disamping memantapkan keampuhan payudara, petua nie juga boleh diamalkan bagi meransang dan membanyakkan susu badan insyaAllah.

Usia Kandungan Bayi


Monday, May 4, 2009

Evolusi virus pandemik selesema


Perumah virus selesema dan penyebaran virus antara spesies haiwan.


Berdasarkan kajian sains, terdapat tiga jenis virus selesema iaitu jenis A, B dan C tetapi hanya virus selesema jenis A dan B yang menyebabkan wabak.

Selain manusia, virus selesema A juga menjangkiti babi, ayam dan kuda.

Bagaimanapun, hanya manusia boleh dijangkiti dengan virus selesema B dan C manakala virus selesema A dikelaskan mengikut subtip berdasarkan perbezaan antigen glikoprotein permukaan pada virus iaitu haemagglutinin (H) dan neuramidase (N).

Sehingga kini, sebanyak 16 subtip H (H1-H16) dan sembilan subtip N (N1-N9) telah pun dikenal pasti.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Biosains UPM, Prof. Madya Dr Abdul Rahman Omar, secara teori, virus selesema A boleh dikelaskan kepada 144 subtip.

Katanya, ia terdiri daripada kombinasi berlainan H dan N yang berupaya untuk membentuk virus tertentu yang boleh menjangkiti pelbagai spesies unggas (avian) tetapi hanya jangkitan dari subtip

H5 dan H7 menyebabkan wabak highly pathogenic avian influenza (HPAI) seperti H5N1, H7N1 dan H7N7.

''Jangkitan virus selesema dalam babi yang kerap dijumpai adalah daripada virus selesema H1N1, H1N2 dan H3N2.

''Namun, virus selesema daripada subtip H1N7, H3N1, H4N6, H9N2, H5N2 dan H5N1 pernah ditemui di dalam babi yang diternak secara komersial," kata beliau.

Katanya, virus H1N1, H1N2 dan H3N2 yang ditemui pada babi di Eropah adalah berbeza dari segi genetik dan protein dengan virus yang dijumpai di Amerika Syarikat.

Berdasarkan maklumat yang sedia ada, virus selesema babi H1N1 yang ditemui di Mexico merupakan virus H1N1 yang unik yang belum pernah di temui sebelum ini.

Virus ini berupaya menyebabkan jangkitan berbahaya serta menyebabkan kematian dalam babi dan manusia yang dijangkiti.

Tidak seperti virus selesema burung H5N1 yang hanya boleh menjangkiti manusia menerusi haiwan terutamanya ayam yang dijangkiti dengan virus tersebut, jangkitan virus babi H1N1 ini berupaya merebak di antara manusia.

Ini membimbangkan ramai pihak kerana sekiranya virus ini berupaya merebak di antara manusia dengan efisien serta menyebabkan kematian pada kadar yang tinggi, ia boleh membawa kepada berlakunya pandemik yang dahsyat.

Namun, berdasarkan maklumat terkini dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) bertarikh 27 April 2009, jangkitan virus selesema babi H1N1 yang menyebabkan kematian dalam manusia hanya dilaporkan di Mexico yang mana lebih daripada 1500 kes jangkitan paru-paru telah pun dikesan dengan lebih daripada 80 kematian.

Namun, hanya 26 kes dikenal pasti akibat daripada virus selesema babi H1N1.

Ketika rencana ini ditulis, kesemua kes yang dilaporkan di Amerika Syarikat iaitu sebanyak 40 kes, empat kes di Kanada dan satu kes di Sepanyol menunjukkan jangkitan ringan dalam manusia.

Kebanyakan pesakit yang dijangkiti telah pun menunjukkan tanda-tanda akan sembuh daripada jangkitan tersebut.

Di dapati juga, tiada risiko jangkitan daripada memakan daging babi yang dimasak dengan betul dan juga produk babi.

Berdasarkan kepada laporan dan maklumat yang diterima, banyak maklumat penting berhubung dengan virus selesema babi H1N1 ini yang masih kurang jelas.

Contohnya, mengapa hanya jangkitan H1N1 dalam manusia di Mexico boleh menyebabkan kematian tetapi tidak di negara lain seperti di Amerika Syarikat dan Kanada.

Di antara faktor yang boleh dikaitkan adalah mungkin virus selesema babi H1N1 di Mexico adalah lebih patogenik kerana Mexico merupakan kawasan pertama (epicenter) berlakunya wabak virus H1N1 dalam babi dan manusia.

Virus ini kemudian mengalami proses mutasi yang menyebabkannya keupayaan menyebabkan jangkitan berkurangan.

Perkara ini boleh terjadi kerana kita tidak pasti tarikh sebenar jangkitan selesema babi H1N1 mula-mula berlaku di Mexico.

Selain daripada perbezaan pada tahap patogenik virus H1N1, salah satu faktor yang mungkin menyumbang kepada kes kematian yang tinggi di Mexico adalah berpunca daripada jangkitan virus H1N1 ini menyebabkan penindasan pada sistem imun perumah yang dijangkiti. Ini diikuti dengan komplikasi jangkitan patogen lain seperti bakteria dan virus bukan selesema.

Namun, keupayaan virus selesema babi menyebabkan kematian dalam babi dan manusia dengan menyebabkan pengaktifan melampau sistem imun tidak boleh dinafikan. Ini memandangkan virus ini berupaya merebak dengan cepat dan membunuh manusia, dan kemungkinan menyebabkan pandemik.

Namun semua teori ini perlu dibuktikan melalui kajian terperinci jangkitan virus H1N1 dalam model haiwan eksperimen yang sesuai.

Adalah penting manusia yang terkena jangkiti virus H1N1 mendapat rawatan yang segera bagi memastikan jangkitannya tidak berpanjangan di samping sentiasa memastikan tahap kesihatan badan yang baik.

Terdapat vaksin selesema dari jenis virus selesema H1N1 yang boleh digunakan dalam babi.

Namun kajian yang lebih lanjut perlu dijalankan sebelum vaksin tersebut dapat digunakan pada babi bagi memastikan ia benar-benar dapat menghalang jangkitan virus tersebut dengan berkesan.

Mengenai penggunaan vaksin pada manusia, tiada vaksin yang berupaya menghalang jangkitan selesema babi H1N1.

Perkembangan dalam status jangkitan pada babi dan manusia pada masa yang terdekat ini adalah penting dalam menentukan sama ada virus H1N1 berupaya menyebabkan pandemik selesema dalam manusia yang merbahaya.

Langkah kawalan dan pemantauan perlu terus dilaksanakan oleh semua agensi yang relevan bagi memastikan manusia dan babi bebas daripada virus selesema H1N1. Kehadiran serentak virus H1N1 dari jenis manusia dan babi dalam perumah yang mudah terdedah boleh mencetuskan virus H1N1 baru yang lebih berbahaya dari virus H1N1 yang sedang menular di Mexico.

Sumber : Utusan

Ancaman virus selesema babi

Selepas dikejutkan dengan Japanese Encephalitis (JE) dan virus Nipah yang disebarkan daripada babi, demam Coxsackie, Sistem Pernafasan Akut Teruk (SARS), kini selesema babi menjadi ancaman terbaru penduduk negara ini.

Kemunculan virus selesema babi H1N1 di dalam babi dan juga manusia di Mexico baru-baru ini yang berupaya menyebabkan jangkitan yang membawa maut menunjukkan sejarah mungkin berulang kerana pandemik virus selesema Sepanyol 1918 (1918 Spanish flu virus) juga disebabkan oleh virus selesema H1N1.

Tetapi yang uniknya, virus selesema babi H1N1 Mexico muncul dari campuran virus selesema yang asalnya daripada unggas, babi dan juga manusia.

Berdasarkan laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang beribu pejabat di Geneva dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika, virus selesema babi H1N1 yang ditemui di Mexico baru-baru ini dan di beberapa negeri di Amerika Syarikat, Kanada dan Sepanyol merupakan virus selesema babi H1N1 yang baru, yang belum pernah ditemui sebelum ini.

Virus babi H1N1 ini mempunyai profil genetik (campuran gen) yang unik yang belum pernah ditemui dalam mana-mana haiwan atau manusia sebelum ini.

Ini dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Omar. Menurut beliau, pada lazimnya, virus selesema babi H1N1 yang ditemui sebelum ini hanya mampu menyebabkan jangkitan yang ringan hingga sederhana pada salur pernafasan dan/atau paru-paru babi yang dijangkiti.

''Bagaimanapun virus tersebut (H1N1) berupaya menyebabkan kadar jangkitan tinggi yang boleh mencecah 100 peratus, meskipun kadar kematiannya adalah rendah," katanya.

Beliau berkata, manusia terutamanya pekerja di ladang babi yang dijangkiti dengan virus H1N1 boleh dijangkiti dengan virus ini, namun jangkitannya tidak berbahaya sekiranya tiada komplikasi.

Tanda klinikal yang kerap berlaku ekoran jangkitan virus selesema babi H1N1 pada manusia adalah demam, selesema, sakit tekak dan batuk selama beberapa hari.

Oleh kerana keupayaan tinggi virus selesema melakukan proses mutasi dan campuran genetik, langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya ternakan seperti babi, ayam, itik dan spesies burung lain tidak dipelihara bersama.

Ini kerana ia boleh membawa kepada pembentukan virus selesema bersifat pandemik kepada manusia dan virus highly pathogenic avian influenza (HPAI) yang boleh menjangkiti ayam dan juga manusia.

Di samping itu, babi merupakan perumah unik yang boleh berfungsi sebagai mixing vessel bagi kemunculan virus selesema yang berupaya menyebabkan pandemik selesema manusia.

''Ini adalah kerana saluran pernafasan babi mempunyai reseptor bagi menyokong proses replikasi virus selesema dari babi, burung dan juga manusia," kata Dr Abdul Rahman.

Katanya, epidemik selesema dikenal pasti apabila berlakunya peningkatan kematian akibat daripada penyakit selesema dan juga kes radang paru-paru (pneumonia) secara mendadak.

Virus selesema pandemik manusia muncul apabila gen virus selesema haiwan sama ada daripada burung atau babi, yang sebelum ini tidak dijumpai pada manusia secara umum, bercantum dengan virus selesema manusia dalam cantuman genetik yang membolehkan virus campuran berupaya merebak dengan efisien dari manusia ke manusia.

Berdasarkan sejarah, virus selesema yang merebak ke seluruh dunia (pandemik) dan menyebabkan kematian yang tinggi berlaku sebanyak tiga kali (sekali setiap abad) sejak 1700 lagi.

Kata Dr. Abdul Rahman, dalam abad kedua puluh ini, sebanyak tiga virus selesema pandemik telah muncul dan menyebabkan pandemik besar iaitu virus selesema Sepanyol 1918 (1918 Spanish flu virus) yang disebabkan oleh virus H1N1, virus selesema Asia 1957 yang disebabkan oleh virus H2N2 dan virus selesema Hong Kong 1968 yang disebabkan oleh virus H3N2.

Pandemik selesema yang disebabkan oleh virus selesema Sepanyol yang berlaku pada tahun 1918 menyebabkan 50 juta manusia di seluruh dunia mati.

''Manakala, wabak pandemik kemudian yang dikesan pada 1957 jenis H2N2 dan pada 1968 jenis H3N2 telah membunuh lebih daripada satu juta manusia," kata beliau.

Strain (jenis) virus yang menyebabkan pandemik selesema pada tahun 1957 dan 1968 merupakan virus yang mula-mula muncul di Asia melalui proses campuran (reassorted)avian), babi dan virus selesema manusia. gen-gen di antara virus unggas (

Virus selesema yang menyebabkan pandemik selesema Sepanyol pada tahun 1918 muncul menerusi proses campuran virus selesema manusia H1N1 dan babi H1N1 serta kehadiran proses mutasi yang kerap ditemui dalam virus selesema burung.

Menurut beliau lagi, pencirian awal ke atas genom lengkap virus tersebut menunjukkan kemungkinan virus babi H1N1 strain baru ini mempunyai campuran genetik dari virus selesema yang berasal daripada unggas, babi dan juga manusia.

Jujukan nukleotida mengesahkan gen neuramidase (NA) dan matrik (M) virus selesema babi H1N1 ini berasal daripada virus selesema Eurasian manakala jujukan hemagglutinin (HA) berasal daripada virus babi Amerika Utara.

Dengan penemuan yang lebih banyak mengenai virus babi H1N1, penjujukkan genom virus tersebut serta kajian ke atas tahap jangkitan dan sebaran virus selesema tersebut di dalam babi dan manusia, lebih banyak maklumat akan diketahui berhubung dengan virus babi H1N1 yang sedang menular di beberapa negara di dunia.

WHO mengesahkan bahawa dadah anti-virus lama seperti amantadine dan rimantadine tidak berkesan untuk membunuh virus babi H1N1 tetapi ia berkesan terhadap dadah anti-viral baru seperti oseltamivir dan zanamivir.

Dijangkakan juga vaksin bermusim selesema yang ada sekarang tidak berupaya memberi pelindungan terhadap virus selesema babi H1N1. Ini adalah kerana virus selesema babi H1N1 yang ditemui ini mempunyai ciri-ciri genetik dan antigenik yang berlainan dengan vaksin selesema yang sedia ada.

Virus selesema babi H1N1 ini telah diasingkan dari pesakit di Mexico, Kanada, Sepanyol dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Beberapa negara lain seperti New Zealand, Perancis dan Israel telah mengesyaki kehadiran virus ini.

Dijangkakan juga lebih banyak negara akan mengesahkan kehadiran virus selesema H1N1 kerana virus ini berupaya merebak dari manusia ke manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyifatkan wabak selesema babi H1N1 yang sedang merebak ini boleh membawa kepada berlakunya ancaman kesihatan awam yang membimbangkan masyarakat antarabangsa.

Virus selesema babi H1N1 yang pertama diasingkan (dipencilkan) dari babi pada tahun 1930.

Sejak dari itu lebih daripada 100 virus selesema babi H1N1 telah dikenal pasti. Walaupun terdapat perbezaan genetik terhadap virus H1N1 tersebut, ia tidak menyebabkan jangkitan berbahaya yang boleh membunuh babi dan juga manusia seperti apa yang sedang berlaku di Mexico.

Di Malaysia, kehadiran virus H1N1 ini pernah dikesan secara tidak langsung menerusi kehadiran antibodi spesifik terhadap virus tersebut.

Kehadiran virus H1N1 tersebut dikesan menerusi suatu kajian pemantauan yang dijalankan menerusi projek kerjasama antara UPM dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada tahun 2005-2007.

Kajian tersebut mengambil lebih daripada 700 sampel sera dan cecair kerongkong telah di ambil daripada babi yang diternak secara komersial di Semenanjung Malaysia.

Menurut Dr. Abdul Rahman, hasil kajian menunjukkan sebanyak 12 peratus daripada babi tersebut didapati positif bagi antibodi terhadap virus H1N1.

Namun, ujian pengasingan virus dari sampel cecair kerongkong gagal mengenal pasti kehadiran virus babi H1N1.

Sumber : Utusan

Monday, April 27, 2009

Untuk kecemerlangan suami isteri

Aktiviti seks dapat mengekalkan keremajaan dengan meningkatkan unsur-unsur yang memanjangkan hayat seperti endorfin, DHEA dan hormon pembesaran sementara mengurangan hormon tekanan (stres). Kecerdasan dan aktiviti fizikal dapat meningkatkan tahap hormon testosteron. Kurangkan stres, dapatkan tidur yang cukup dan jaga diet yang kaya zink dari kekacang, kuaci, gajus dan tiram.

Makanan yang baik untuk keintiman suami isteri: Makanan yang memanaskan badan tetapi agak kuat bau dapat menggalakkan peningkatan tenaga badan: Bawang putih, bawang merah, daun bawang, daun kucai, kayu manis, halia, lada hitam, kunyit, jintan hitam, buah pelaga, jintan manis. Ikan laut dalam atau ikan laut sejuk seperti salmon, sardin dan juga kerangan memberi asid lemak omega untuk meningkatkan kesihatan seksual keseluruhan.

Penjagaan emosi pasangan dapat menjamin kestabilan hubungan seksual bersama. Aktiviti mudah seperti berbual, makan atau berjalan bersama juga dapat merapatkan hubungan emosi dengan pasangan.

Aktiviti fizikal telah terbukti dapat meningkatkan kesihatan seksual seseorang. Berjalan, joging atau senaman kardio lain selama 30 minit setiap hari atau sekerap mungkin dapat membantu. Senaman Kegel dapat membantu menguatkan otot bawah pelvis dan mengelakkan masalah prostat bagi lelaki atau masalah tidak dapat menahan air kecil bagi wanita.

Sumber : Utusan

Wednesday, April 1, 2009

Perkahwinan bukan semata-mata untuk seks

Membina rumah tangga bukan seperti membina istana pasir di tepi pantai, sekali ombak melanda istana roboh berderai. Sebolehnya jadikanlah binaannya kukuh, sekukuh istana konkrit, biar dilanda ombak dan taufan tetap utuh dan teguh.

Namun kekukuhan dalam perkahwinan itu memerlukan ramuan yang padat bukan sahaja dari segi kekuatan fizikal, mental, spiritual malah kemantapan ekonomi dan sosial.

Bagaimanapun, apabila melayari sebuah bahtera perkahwinan ramai yang menyatakan bahawa kebahagiaan dalam rumah tangga sebenarnya hanya bergantung kepada seks semata-mata.

Memang tidak dinafikan bahawa seks amat penting di dalam perkahwinan dan juga membawa kepada beberapa akibat buruk jika tidak dipenuhi, namun itu bukanlah syarat utama dalam kemanisan kehidupan sesebuah perkahwinan.

Pensyarah Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah Abd. Ghani berpendapat, sesebuah perkahwinan yang bahagia harus mempunyai komponen kasih sayang, saling mempercayai dan menghormati, di samping memenuhi zahir dan batin.

Kehidupan suami isteri perlu seimbang dalam pelbagai aspek. Tidak boleh memberi keutamaan kepada satu aspek sahaja, contohnya hubungan seks semata-mata tetapi sebaliknya harus bersifat sederhana.

Bersederhana dalam erti kata cukup dalam memaniskan dan mengekalkan keutuhan rumah tangga itu. Misalnya dalam mencari kemewahan, janganlah sehingga mengabaikan keluarga sehingga keadaan porak peranda.

Begitu juga dalam memenuhi kehendak seksual, suami harus memain peranan dalam memastikan hubungan itu saling memberi kepuasan bagi kedua-dua pihak.

"Ini kerana dari segi psikologi, lelaki dan wanita berbeza kehendak seksualnya. Organ-organ jantinanya berbeza. Lelaki dan wanita perlu sedikit pengetahuan mengenai seksualiti, barulah kepuasannya itu dirasai oleh kedua-dua pihak.

"Selain itu, rata-rata wanita Asia seorang yang pemalu, tidak bersifat terbuka mengenai isu berkaitan dengan seks, lebih memendam rasa dan tidak suka berterus terang dengan suami. Ada juga isteri hanya mahu menanti dan bahkan tidak pernah diberi peluang untuk mencapai kepuasan.

"Jadi, dalam mendapatkan kenikmatan itu, suami-isteri harus bersama-sama bertanggungjawab memberi kepuasan,'' katanya ketika ditemui di USIM, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Menurut Dr. Saedah, seks merupakan salah satu kehendak manusia yang dianugerahkan Allah dengan tujuan murni iaitu meneruskan kesinambungan zuriat anak Adam dan untuk pasangan menikmati hubungan manis dalam satu ikatan yang sah.

Di samping itu, ia juga antara kaedah dala menguruskan tekanan atau stres serta menjalin hubungan mesra dan menyemai kasih sayang serta cinta antara suami isteri.

"Namun jangan jadikan seks segala-galanya dalam perkahwinan, ia hanya bentuk aktiviti yang bertanggungjawab serta halal. Oleh itu, suami tidak harus memberi keutamaan dalam hal ini sedangkan banyak lagi komponen yang penting dalam melayari bahtera tersebut.

"Bahkan, tanggungjawab suami juga cukup besar, tidak semata-mata memberi nafkah batin, tetapi sebagai ketua atau pemimpin dalam sebuah keluarga. Tanggungjawab kepimpinan dalam sebuah rumah tangga ada kaitan dengan pemberian nafkah batin dan zahir, sifat kekuatan jasmaniah, azam, keberanian, kesabaran dan berpandangan jauh dalam sebuah rumah tangga,'' tambahnya.

Katanya yang berpengalaman dalam bidang kaunseling hampir 20 tahun, dalam membina sebuah rumah tangga, pasangan digalakkan untuk sentiasa menjalin hubungan mesra, saling faham memahami, sentiasa berbincang dan bermusyawarah. Sifat ini amat perlu sama ada dalam menghadapi permasalahan kecil atau pun besar.

"Tanggungjawab suami sebagai pemimpin dalam sebuah rumah tangga merupakan satu amanah Allah yang wajib ditunaikan. Ini bermakna menjadi tanggungjawab kepada suami untuk menanggung perbelanjaan keluarga mengikut kemampuannya.

"Kewajipan ini termasuk juga sama ada isteri mempunyai harta atau pendapatan sendiri. Bagaimanapun isteri boleh menyumbang untuk perbelanjaan keluarga dan dikategorikan sebagai satu sedekah.

"Oleh itu, sebagai suami , mestilah sedaya upaya berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab menyediakan perbelanjaan keluarga seperti tempat tinggal, pakaian, makan, minum dan sebagainya. Cuai memberi nafkah zahir adalah merupakan satu dosa,'' tegasnya.

Secara kesimpulan, peranan seks dalam perkahwinan perlulah bersifat sederhana, janganlah ia dijadikan tunjang utama sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain. Suami isteri perlu memahami peranan masing-masing dalam perkahwinan, jika mahu melihat ia terus utuh.

Sumber : Utusan