Showing posts with label kesihatan. Show all posts
Showing posts with label kesihatan. Show all posts

Thursday, March 19, 2009

Kulit paha gatal, keras dan hitam

Dr. Fatima Najla KM Muhd Jaafar

Doktor,
SAYA berusia 39 tahun, sudah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai dua orang anak. Masalah saya bermula selepas melahirkan anak kedua.

Saya mengalami kegatalan yang teramat sangat

di pangkal paha berdekatan dengan alat sulit. Kegatalan melampau menyebabkan saya terpaksa menggaru sehingga melecet dan akhirnya menyebabkan kulit di bahagian tersebut menjadi keras, kasar dan hitam.

Bagaimanakah caranya untuk memulihkan kembali keadaan kulit di bahagian paha tersebut? Diharap doktor dapat membantu kerana saya

terasa malu apabila bersama suami. Saya juga mengalami masalah keputihan. Kadang-kadang ia jernih tidak berwarna. Pada waktu lain pula berwarna kuning dan berbau. Saya tidak pernah berjumpa dengan doktor atas sebab malu.

- Kakak Maria, KL.

JAWAPAN:

Masalah yang anda hadapi adalah akibat jangkitan pada vagina, terutamanya melibatkan jangkitan kulat.

Seseorang wanita yang sudah mula bersetubuh lebih kemungkinan dapat infeksi kulat berbanding dengan seseorang wanita yang belum pernah bersetubuh.

Jangkitan kulat juga lebih ketara jika wanita berkenaan bertambah berat badan, terutamanya selepas melahirkan anak.

Jika pesakit menghidap kencing manis, jangkitan kulat mungkin susah dirawat jika penyakit kencing manis tidak dirawat dengan sewajarnya.

Bahagian kulit yang gatal, biasanya disebabkan oleh jangkitan kulat ini, jika digaru akan menjadi gelap dan keras.

Maka, krim yang sewajarnya perlu digunakan dan elakkan diri daripada menggaru. Masalah anda boleh dirawat dengan krim, pesari (ubat untuk diletakkan di vagina) atau ubat tablet makan untuk merawat kulat.

Juga elakkan menggunakan sabun untuk membasuh kemaluan, hanya gunakan air suam. Elakkan juga pakaian ketat dan jika suami anda ada apa-apa tanda mengalami jangkitan kulat, ia juga perlu dirawat.

Sumber : Utusan

Thursday, March 12, 2009

Pendarahan abnormal


MASALAH ketumbuhan, mengandung, keguguran dan juga usia (kitaran haid remaja) mungkin menyebabkan pendarahan di luar kitaran haid biasa.

RAMAI wanita yang mengalami keganjilan pendarahan yang bukan berkaitan dengan darah haid bulanan. Ada yang serius dan ada juga yang sembuh tanpa memerlukan apa-apa rawatan. Walau apa pun cara persembahan pendarahan tersebut, puan haruslah mengetahui penyebab-penyebab pendarahan tersebut, bagaimana ia didiagnosis dan kaedah rawatan yang mungkin diberikan.

Kitaran haid

Ovari yang berada di kedua-dua belah rahim puan mengeluarkan dua jenis hormon yang penting untuk wanita iaitu estrogen dan progesteron.

Hormon-hormon tersebut berganding dalam fungsi menyediakan benih serta penebalan dinding dalaman rahim untuk kemungkinan penanaman selepas persenyawaan sperma dan telur. Ovulasi berlaku sekitar 12 hingga 14 hari sebelum datangnya kitaran haid yang berikutnya.

Benih yang dikeluarkan akan melalui tiub fallopian di mana persenyawaan mungkin (atau tidak) berlaku dengan sperma. Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, paras hormon akan jatuh dan memberi isyarat pada dinding dalaman rahim untuk gugur sebagai darah haid. Kebanyakan kitaran berlangsung selama 28 hari dan kitaran yang sedikit pendek atau panjang sehingga 35 hari adalah normal.

Pendarahan abnormal

Pendarahan abnormal mungkin melibatkan pendarahan di antara kitaran haid (iaitu di peringkat antara dua kitaran haid), pendarahan selepas hubungan kelamin, pendarahan tidak menentu harinya dalam kitaran haid, pendarahan yang banyak serta bilangan harinya panjang dari hari-hari sebelum ini, atau pendarahan yang berlaku selepas menopaus (putusnya haid secara fisiologi). Segeralah dapatkan rawatan sekiranya kitaran haid puan melebihi 35 hari ataupun pendek kurang dari 21 hari. Tidak hadirnya haid selama tiga hingga enam bulan juga abnormal dan memerlukan pemeriksaan kesihatan lanjut.

Jika keganjilan kitaran haid hanya berlaku sekali atau kadang kala, puan tidak perlu berasa cemas kerana mungkin itu adalah normal. Juga sesuatu yang normal jika jadual haid gadis yang baru akil baligh (antara sembilan hingga 16 tahun) tidak dapat diramalkan di awal kehadiran haid dalam hidup mereka. Apabila puan menghampiri umur 35 tahun, kitaran haid mungkin menjadi pendek dan makin pendek apabila menghampiri usia menopaus. Haid juga mungkin menjadi lebih sedikit (atau lebih banyak) dan kadangkala haid pada bulan tertentu tidak langsung tiada.

Punca

Pendarahan abnormal mempunyai banyak punca dan lazimnya doktor akan menumpukan pemeriksaan pada penyebab yang biasa mengikut umur. Sejarah kesihatan dan pengambilan ubat juga akan direkodkan. Untuk ramai wanita, ketidakseimbangan paras hormon mungkin menyebabkan keganjilan kitaran haid.

Di antara penyebab-penyebab yang akan disiasat termasuklah mengandung, keguguran, mengandung di luar rahim atau masalah berkaitan penggunaan alat dalam rahim dan pil perancang keluarga. Selain itu, jangkitan pada rahim atau pangkal rahim, fibroid, polip, masalah dengan sistem pembekuan darah, kanser wanita (rahim, ovari, pangkal rahim, faraj) atau masalah kesihatan kronik seperti penyakit tiroid dan kencing manis mungkin menjadi puncanya.

Semasa di klinik, doktor akan merekodkan sejarah kesihatan puan serta keluarga. Penggunaan ubat-ubatan, sama ada tradisional ataupun yang dipreskripsikan, penggunaan pil perancang keluarga, tabiat pemakanan, senaman, berat dan tinggi juga direkodkan. Ketegangan dan kestabilan emosi juga perlu diamati. Puan juga akan diberikan carta bagi menandakan hari-hari berlakunya keabnormalan kitaran haid.

Pemeriksaan lanjutan yang lazim disyorkan, berdasarkan pada simptom dan tanda- tanda yang dipersembahkan termasuklah;

l Pemeriksaan ultrasound untuk meneliti keadaan di dalam kawasan pinggul

l Biopsi dinding dalam rahim dengan menggunakan kaedah aspirasi vakum (ujian ini dilakukan di klinik)

l Sonohisterografi pula merupakan kaedah ultrasound di mana sebelum dijalankan, cecair steril dimasukkan ke dalam rahim melalui bukaan pangkal rahim untuk menjelaskan lagi pengimejan dalaman rahim apabila ultrasound digunakan.

l Histeroskopi pula seperti kaedah binokular untuk melihat secara langsung keadaan dalaman rahim

l Histerosalfingografi pula kaedah sinar-X, di mana bahan pewarna dimasukkan ke dalam rahim dan kedua-dua tiub falopian untuk tujuan visualisasi dengan kaedah sinar-X

l Dilatasi serta pengkuretan adalah kaedah pembedahan kecil di mana pensampelan tisu diambil dari bahagian dalam rahim untuk diperiksa di bawah mikroskop

l Laporoskopi adalah kaedah visualisasi langsung anatomi di bahagian pinggul, sejenis alat visual dimasukkan ke bahagian pusat dan rongga abdomen dikembangkan supaya visualisasi tidak terhalang (prosedur ini dijalankan di bawah bius keseluruhan)

Rawatan

Rawatan yang diberikan bergantung kepada apakah punca pendarahan yang dialami. Lazimnya terdapat tiga pilihan kaedah perawatan;

i) Rawatan menggunakan hormon. Ianya mengambil masa untuk menormalkan kembali kitaran haid. Hormon ini mungkin diberikan secara oral, suntikan, krim yang diletakkan di dalam faraj dan juga alat dalam rahim yang mengandungi hormon (IUS). Mungkin puan mengalami hiperplasia dinding rahim, keadaan ini boleh dirawat dengan hormon progesteron.

ii) Ubat-ubat lain seperti NSAID (NonSteroidal AntiInflammatory) dapat mengurangkan jumlah pendarahan. Ubat ini juga berkesan sekiranya puan mengalami senggugut. Antibiotik diberikan sekiranya puan mengalami jangkitan kuman. Pembedahan disyorkan apabila pendarahan berpunca daripada ketumbuhan seperti polip dan fibroid. Mungkin pembedahan ini dilakukan secara histeroskopi. Kaedah ablasi dinding dalam rahim juga digunakan untuk mengawal pendarahan. Lazimnya kaedah ini berbentuk kekal dan puan mungkin tidak dapat mengandung selepas menjalani prosedur ablasi ini. Pembedahan membuang rahim iaitu histerektomi disyorkan apabila kaedah lain mengalami kegagalan. Pembedahan ini merupakan satu pembedahan besar dan puan tidak lagi mengalami kitaran haid selepas itu.

Jangan takut serta segan untuk berbincang dengan doktor apabila puan mengalami masalah pendarahan. Berbincanglah dengan doktor mengenai kaedah rawatan yang terbaik dan terkini untuk memulihkan keadaan.

Sumber : Utusan

Kemurungan perlu dirawat


Lesu dan sakit seluruh badan merupakan antara simptom kemurungan. - Gambar hiasan

RASA sakit dan lesu seluruh badan biasanya disebabkan keletihan dan kerja keras, namun tidak ramai daripada kita yang mengaitkannya dengan masalah kemurungan.

Keadaan itu menyebabkan ramai mereka yang mengalami kemurungan tidak menyedari mereka mempunyai masalah tersebut kerana menyangkakan sakit badan yang dialami adalah sakit biasa.

Presiden Persekutuan Psikiatri dan Kesihatan Mental Asean (AFPMH), Profesor Dr. Mohamad Hussain Habil, berkata, sememangnya ramai yang tidak sedar bahawa kesakitan yang tidak dapat dijelaskan ini sebenarnya berkait rapat dengan kemurungan

Katanya, para penyelidik mendapati bahawa 82 peratus daripada pesakit murung yang datang mendapat rawatan daripada pengamal perubatan pada awalnya tidak mengetahui mereka mengalami gejala kemurungan.

Ini menyebabkan mereka tidak mendapat rawatan sewajarnya, sementara 18 peratus lagi hanya menerima ubat anti kemurungan.

Beliau yang juga Ketua Pakar Ketagihan dan Perunding Psikiatri di Jabatan Perubatan Psikologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), berkata, pemahaman mengenai hubung kait kesakitan dan kemurungan amat penting bagi memudahkan proses rawatan penyakit tersebut.

"Ini terutama bagi pesakit yang berada di tahap yang lebih kronik sehingga terdorong kepada perasaan ingin membunuh diri," katanya ketika menyampaikan ceramah di Bengkel Kesakitan dan Kemurungan, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Bengkel tersebut ditaja oleh Eli Lilly (M) Sdn. Bhd., dengan kerjasama AFPMH dan Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)

Dr. Mohammad Hussain berkata, kemurungan merupakan penyakit yang melanda kira-kira 121 juta manusia di seluruh dunia.

Malam menurut Laporan Kesihatan Sedunia 1999 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan merupakan penyakit keempat paling ramai dihidapi di dunia yang boleh menimbulkan ketidakupayaan individu.

"Perlu untuk diberitahu kepada masyarakat juga bahawa kemurungan bukan penyakit yang sengaja diada-adakan.

"Ia adalah satu penyakit yang memerlukan rawatan dan banyak mempengaruhi kehidupan lebih-lebih lagi dalam negara yang mengalami krisis ekonomi," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Yen Teck Hoe berkata, terdapat beberapa simptom kemurungan yang boleh dikenalpasti secara mata kasar.

Ini termasuk hilang minat atau keinginan terhadap aktiviti yang lazim dilakukan seperti bersukan, riadah bersama keluarga, seks dan sebagainya.

"Pesakit juga mudah dilanda rasa sedih, cepat marah, hilang tumpuan dan lebih teruk lagi timbul rasa ingin bunuh diri.

"Kemurungan tidak mengenal mangsa, ia boleh terjadi kepada kanak-kanak semuda usia lima tahun dengan simptom yang berbeza," tambah beliau.

Dr. Teck Hoe berkata, mengikut kajian, kejadian kemurungan di kalangan wanita adalah lebih tinggi berbanding lelaki dengan nisbah 2:1.

"Antara sebabnya ialah perubahan peringkat hormon yang dialami wanita. Itu sebabnya, kemurungan berlaku ketika wanita mengalami peredaran haid, hamil selepas bersalin dan putus haid.

"Biasanya wanita akan menunjukkan tanda-tanda kemurungan seperti putus asa dan tidak berupaya manakala lelaki pula bersikap berang atau cepat marah," jelas beliau.

Dari segi saintifiknya, penyelidikan mendapati kemurungan disebabkan ketidakseimbangan dua bahan kimia dalam otak dan badan iaitu serotonin dan noradrenalin.

Serotonin ialah sejenis bahan kimia yang wujud dalam sistem saraf pusat dan perubahan paras serotonin dalam otak boleh mengubah mood seseorang.

Begitu pun, kajian turut mendapati bahawa kemurungan boleh diwarisi yang bermaksud ia mempunyai hubung kait dengan faktor genetik.

Sementara itu, perunding psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Nor Zuraida Zainal, dalam kertas kerjanya yang bertajuk Penyakit Kronik dan Hubung Kaitnya dengan Kemurungan dan Kesakitan pula menjelaskan, kemurungan di kalangan pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti barah, jantung, strok dan parkinson boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan mereka.

"Hubung kait kemurungan dan penyakit kronik amat tinggi. Kesakitan menyebabkan kemurungan dan kemurungan menyebabkan kesakitan.

"Penyakit kronik menyebabkan jiwa tertekan dan menjejaskan keadaan psikologi pesakit, seterusnya membawa kepada kemurungan.

"Kemurungan pula boleh memburukkan lagi keadaan kesakitan dan menjejaskan keadaan fizikal yang mengganggu keberkesanan rawatan penyakit tersebut," jelas beliau.

Sementara itu, pensyarah kanan Jabatan Perubatan Psikologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Jesjeet Singh Gill berkata, cabaran sebenar dalam mengenal pasti kesakitan dan kemurungan ini ialah untuk mengatasi stigma yang berkait rapat dengan diagnosis dan rawatan penyakit tersebut.

"Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan kedua pada tahun 1996 menyatakan 10.7 peratus daripada orang dewasa Malaysia berusia 16 tahun ke atas menghadapi masalah kesihatan mental.

"Kemurungan menyumbang 11.8 peratus kepada masalah psikologi paling umum dihadapi oleh para responden. Walaupun peratusan itu tidak tinggi, ia telah menunjukkan tanda-tanda amaran.

"Didapati hanya sebilangan kecil pesakit yang berjumpa dengan pengamal perubatan am untuk mengatasi masalah kemurungan manakala hanya segelintir yang terus berjumpa dengan pakar psikiatri," jelas beliau.

Dr. Jesjeet menambah, masalah kemurungan ini boleh dirawat namun ramai pesakit yang enggan atau keberatan untuk berjumpa pengalam perubatan.

"Kami mendapati para pesakit enggan mendapatkan rawatan kerana mereka bimbang akan dipulaukan. Mereka juga takut dipandang rendah di tempat kerja dan mereka yang menghidapi masalah ini masih dianggap sebagai mempunyai masalah emosi atau kurang keazaman," ujar Dr. Jesjeet.

Pensyarah kanan Jabatan Perubatan Psikologi, Universiti Malaya, Dr. Ting Joe Hang menegaskan kemurungan bukan satu kelemahan peribadi tetapi penyakit yang menjejaskan otak dan memerlukan rawatan segera.

"Sekiranya pesakit mempunyai empat atau lima simptom tetapi tidak tahu apakah sebabnya berkemungkinan mereka menghidap kemurungan.

"Pesakit tidak harus berdiam diri, mereka perlu berjumpa dengan doktor dan utarakan kemungkinan menghidapi kemurungan supaya mereka boleh dirujuk kepada doktor pakar. Perkara yang tidak harus dilakukan oleh doktor ialah dengan menganggap kesakitan fizikal ini sebagai sakit biasa," ujar beliau.

Menerusi satu kajian kes yang dijalankan, beliau mendapati bahawa seorang suri rumah yang mengadu mengalami sakit gigi masih mengalami kesakitan tersebut walaupun giginya telah dicabut.

"Menerusi perbualan dengan pakar psikiatri, menemukan hasil bahawa wanita tersebut sebenarnya mengalami kemurungan sejak tiga tahun lalu iaitu sebelum dia mengalami kesakitan gigi.

"Wanita itu juga mengakui sukar tidur, hilang selera makan, tidak lagi gemar berkebun seperti dahulu dan mudah sensitif.

Setelah diagnosis dijalankan, rawatan melibatkan ubat, terapi dan sokongan sosial terbukti membantu wanita tersebut mengembalikan keceriaan hidupnya. Bukannya kesakitan gigi yang menyebabkan beliau sakit, tetapi apa yang dipendam menjadi punca kemurungan tersebut," kata beliau.

Sumber : Utusan

Friday, March 6, 2009

Senaman yoga bantu mata sihat, bersinar


Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar (berita harian)

SEHARIAN mengadap komputer, berdepan debu serta habuk kotoran terutama ketika menunggu bas dan teksi, ditambah pula dengan tidur yang tidak mencukupi menyebabkan mata anda kelihatan lebam, kurang bermaya dan sembab. Keadaan mata yang tidak bermaya menyebabkan wajah kelihatan tua.

Bagi memiliki mata sihat dan bersinar, anda harus mempraktikkan senaman yoga khusus bagi mata untuk memastikan ia kekal bertenaga. Yoga mata berfungsi untuk melancarkan peredaran darah dan oksigen sekitar mata selain mampu mengatasi masalah dehidrasi dan penuaan.

Hakikatnya mata juga memerlukan penjagaan rapi sama seperti rambut, kulit, kuku dan badan. Tanpa anda sedari mengerah deria ini bekerja terlalu lama terutama dengan tugasan kerja yang menuntut masa lama di hadapan komputer menyebabkan kepekaan deria ini semakin berkurangan.

Tidak terlewat untuk manjakan mata anda dengan teknik yoga mata yang diyakini selamat serta mampu menegangkan kulit di sekitar mata, selain membuatkannya kelihatan lebih bermaya dan peka.

Bagaimana melakukan yoga mata?

Bagi memastikan teknik yoga ini berkesan ia menuntut penghayatan dan kesungguhan. Malah, pakar kecantikan barat mengakui kaedah ini berkesan dalam menjamin kualiti kesihatan mata terpelihara. Walaupun kedengaran agak pelik, teknik ini mampu memastikan renungan mata anda lebih bertenaga.

1. Pastikan badan dalam posisi betul, ambil masa 10 hingga 15 minit untuk menenangkan diri, kemudian tarik nafas perlahan untuk memberi tenaga dan melancarkan pengaliran darah

2. Bantuan krim mengelakkan garis dan kedut sekitar mata diperlukan, urut perlahan-lahan terutama di kawasan kedutan bermasalah di bawah mata

3. Latihan dimulakan dengan menggerakkan mata ke arah bawah, tahan dalam kiraan lapan hingga 12 saat. Teruskan menggerakkan mata ke arah atas, ke kiri dan kanan dalam jumlah hitungan yang sama

4. Rehat sebentar, bagi memastikan mata berada dalam keadaan lebih selesa

5. Secara perlahan-lahan putar bebola mata mengikut arah jam, lakukan dengan tenang ulangi beberapa kali mengikut keselesaan

6. Kemudian, fokus kepada satu objek yang agak jauh, hala pandangan mata ke arah satu titik objek tanpa berkelip

7. Teruskan dengan menggerakkannya ke sisi kiri bawah, kanan ke atas, kanan bawah dari kiri atas

8. Lakukan gosokkan antara dua telapak tangan sehingga terasa panas, kemudian letakkan dan tekapkan lembut pada mata yang tertutup. Lakukan gerakan ini sebanyak tiga kali

9. Akhir sekali, rebahkan badan atau tetap duduk bersila. Tutup mata dan kosongkan fikiran sehingga tubuh benar-benar relaks

Sumber : Wanita2u

Jangan Abaikan Keputihan


Anda sering menderita keputihan ? Jangan anggap masalah ini biasa atau ambil mudah,apalagi jika keputihan itu berbau dan berubah warna. Keputihan merupakan istilah awam untuk cairan yang keluar dari vagina /faraj.Cairan yang keluar dari faraj ada yang normal atau tidak normal . Nah yang tidak normal inilah yang membawa simptom penyakit.

Cairan faraj normal,memiliki ciri-ciri antara lain warnanya putih jernih, bila terlekat pada pakaian dalam berwarna kuning terang,kebiasaanya seperti lendir (kental), tidak berbau serta tidak menimbulkan gatal.

Pada ketika tertentu, memang terjadi peningkatan jumlah cairan berlebihan, namun hal itu bukan penyakit.Jumlah cairan faraj meningkat dalam keadaan peningkatan jumlah hormon pada sekitar masa haid atau saat hamil, rangsangan seksual, stres atau keletihan,pengamalan ubat-ubatan atau alat pencegah kehamilan.

Bilakah cairan faraj dikatakan tidak normal?

Iaitu jika jumlahnya lebih banyak dari biasa dan terus menerus muncul hingga terasa mengganggu, berbau hamis,busuk,bewarna putih susu, kuning tua, coklat,kehijauan bercampur darah.

Selain ciri di atas, cairan faraj yang tidak normal juga dirasai dengan menimbulkan rasa gatal panas atau disertai rasa sakit ketika buang air kecil atau berhubungan seksual.

Keputihan disertai gatal-gatal lazimnya adalah tanda jangkitan kuman. Jika dibiarkan berlarutan, ia boleh menyebabkan perubahan pada permukaan faraj serta pintu rahim (kemerahan, luka, peradangan dan seumpamanya), akibatnya anda mudah sakit pada bahagian terbabit. Malah ia juga boleh menjangkiti organ berhampiran seperti pundi kencing.


Kenapa keputihan tidak boleh diremehkan?

Zaman yang sudah maju dan akses informasi yang mudah,memungkinkan hampir setiap orang untuk mengatasi penyakit,kemudian mengubatinya sendiri.Tetapi yang sering terjadi adalah salah rawatan, salah ubat maka mengakibatkan semakin parahnya penyakit yang sudah ada.Bahayakan?


Hal ini sering terjadi kerana banyak perempuan merasa malu mengutarakan penyakit yang berhubungan dengan 'daerah sulit'ini.Malah mereka menganggap keputihan adalah hal wajar sehingga tidak perlu diubati. Banyak di antara kita yang belum menyedari bahawa keputihan boleh menjadi tanda awal dari penyakit yang lebih berat,hingga menyebabkan kemandulan atau kanser. Jika keputihan nampak 'tidak wajar', segera ke doktor perbidanan dan kandungan.
Jangan dibiarkan berlarut-larut ya!


Selain itu, anda juga dinasihatkan mengamalkan teknik mengelakkan jangkitan berlaku semula. Ini termasuk:

.Mencuci atau mengelap kemaluan dari arah hadapan ke arah belakang dan bukan sebaliknya. Ia dapat mengelakkan kuman dari bukaan dubur yang terletak berhampiran memasuki faraj.

- Lebih kerap menukar seluar dalam (terutamanya jika mudah berpeluh selepas melakukan aktiviti atau kerja)

- Menggunakan pakaian dalam yang dibuat daripada kapas dan bukannya nilon

- Tidak perlu memasukkan jari ke dalam faraj sewaktu mencuci kemaluan/faraj

- Membasuh menggunakan air paip sahaja atau air yang bercampur sedikit garam. Jika menggunakan cecair pencuci wanita, pastikan ia dibilas dengan air yang banyak kerana lebihan sabun ini boleh mengeringkan faraj atau mengubah pH persekitarannya dan mengundang jangkitan lagi.

***Masukkan air putih di dalam besen dan campurkan kedalam air 2 sudu besar garam kasar dan kacau . Kemudian cebok atau rendam faraj kedalam air ini.
Lakukan selama kira-kira 10 minit dua kali sehari.

***air suam lagi baik***

Cara rendam:

Besen yang telah dicampur air + garam tadi diletakkan kedalam mangkuk
tandas kemudian duduk.
(cari besen yang muat dengan mangkuk tandas )

Jangkitan dijangka sembuh dalam seminggu, peradangan faraj mungki mengambil masa lebih lama untuk kembali normal semula. Seeloknya anda mengelak hubungan seks ketika masih dalam rawatan.

Ini dapat mengurangkan risiko jangkitan pada pasangan serta risiko jangkitan semula kepada anda. Ia juga dapat memberi masa untuk luka (jika ada) pada faraj sembuh.

Sumber : Wanita2u

Thursday, March 5, 2009

10 cara untuk memantapkan air mani

Dr Ismail Thamby, pakar sakit tuan menulis 10 Kaedah di dalam Harian Metro. ImageAIR mani ialah campuran cecair dari pundi prostat, pundi seminal, pundi cowpers, pepundi dalam salur kencing, cecair dari pundi epididimis dan sperma dari kilang sperma.

Ada 10 cara yang dapat membantu meningkatkan isi padu air mani, antaranya:
  1. Jangan kerap bersetubuh kerana lebih kerap anda mencapai ejakulasi, isi padu air mani makin berkurangan dan cair. Jika ejakulasi selang tiga hari, air mani lebih mantap.
  2. Elak tabiat merokok dan minum minuman keras. Kedua-dua perkara itu merendahkan tahap hormon testosterone yang mustahak untuk fungsi optima pundi yang menghasilkan air mani.
  3. Lakukan senaman secara berkala. Lakukan senaman kegel atau kemut, iaitu mencengkam otot lantai pelvis atau otot pembukaan lubang najis dan lubang kencing.
  4. Makan makanan berkhasiat yang mengandungi kurang lemak, tinggi khasiat protein, sayur-sayuran dan kekacang. Semua itu sesuai untuk kesihatan sperma dan kandungan air mani. Kurangkan makanan pedas dan berempah.
  5. Elakkan buah zakar terdedah kepada kepanasan. Kepanasan menjejaskan kilang sperma. Pakai seluar dalam longgar seperti seluar pendek ‘boxer’ dan elak sauna atau merendam badan dalam air panas.
  6. Kurangkan berat badan jika didapati meningkat. Peningkatan lemak perut mengganggu kestabilan hormon testosterone.
  7. Belajar mengurus tahap tekanan secara positif kerana tekanan memberi kesan negatif kepada kesihatan badan.
  8. Dapatkan urutan badan yang menyegarkan supaya otot selesa dan badan tenang serta mudah berinteraksi secara seksual dan memberi isi padu air mani yang lebih.
  9. Makan makanan tambahan dan herba yang dapat membantu meningkatkan isi padu air mani dan bilangan sperma. Kekacang membantu meningkatkan sperma, zink dapat memantapkan kilang sperma.
    Herba Horny Goat Weed atau Epimedium, Tribulus dan extrak standard Tongkat Ali (NU-PREP75) semuanya dapat membantu meningkatkan tahap hormon testosterone dan DHEA yang secara langsung dapat membantu memantapkan pundi serta kilang sperma. Semua ini boleh didapati dari farmasi.
  10. Lakukan hubungan seksual sebelah pagi atau petang kerana ketika itu mudah mengalami pemanasan yang dapat membina kecergasan pundi yang menghasilkan air mani.
    Jika lakukan seks sebelah malam, tahap keaktifan badan menurun dan rangsangan kurang, jadi pengeluaran air mani juga kurang.
Sumber : Ratuhati

Wednesday, February 25, 2009

Rawatan belon haba untuk haid berlebihan



RAWATAN belon haba mudah dijalankan, tidak mengambil masa yang lama dan pesakit tidak perlu ditahan di wad.EBIH daripada 20 peratus wanita mengalami masalah pendarahan haid berlebihan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kaedah rawatan berkesan, termasuklah yang tidak memerlukan pembedahan besar.

Haid yang normal biasanya berterusan antara lima hingga tujuh hari. Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan (Pakar Obstetrik dan Ginekologi), Dr. Lee Say Fatt menyatakan seseorang wanita itu mengalami aliran darah haid berlebihan jika perlu menukar tuala wanita setiap dua hingga tiga jam atau terdapat 'kebanjiran' darah (meresap ke seluar dalam, pakaian atau cadar tilam).

"Selain itu, mereka yang mempunyai ketulan darah besar atau aliran darah haid melebihi tujuh hari juga mengalami aliran haid berlebihan," katanya.

Pendarahan haid yang berlebihan akan mengganggu aktiviti harian, termasuk pekerjaan, disusuli kelesuan dan mudah rasa letih.

Mereka yang mempunyai gejala-gejala tersebut dinasihatkan menemui doktor untuk membincangkan pilihan rawatan untuk aliran darah haid berlebihan.

l Punca

"Terdapat banyak punca kepada masalah ini, tetapi hampir 50 peratus dari pendarahan ini adalah disebabkan oleh masalah dysfunctional uterine bleeding (DUB)," kata Dr. Lee.

Menurut beliau, DUB merujuk kepada diagnosis di mana punca sebenar tidak dapat dipastikan dan dipercayai masalah tersebut timbul akibat ketidakseimbangan hormon dalam kitaran haid.

Tambahnya, punca lain adalah termasuk ketumbuhan di otot rahim (fibroid) atau di ruang dalam rahim (polip), hyperplasia lapisan tisu haid (endometrial hyperplasia), kanser rahim, penyakit ovari polisistik, penggunaan kaedah merancang keluarga, penyakit endokrin dan juga pengambilan ubat seperti warfarin.

Sehingga 50 peratus kes aliran haid berlebihan gagal dikesan puncanya. Selama bertahun-tahun lamanya, membuang rahim (histerektomi) menjadi rawatan pilihan untuk wanita yang mengalami aliran haid berlebihan di mana mereka tidak mendapat kelegaan daripada rawatan ubat.

Bagaimanapun, kebanyakan masalah aliran haid berlebihan kini boleh dirawat dengan mudah, tanpa memerlukan pembedahan besar bagi mereka yang tidak menunjukkan punca pendarahan yang jelas.

Kaedah yang dikenali sebagai ablasi endometrium ini melibatkan pembuangan atau memusnahkan lapisan dalam rahim (endometrium).

Terdapat banyak kaedah ablasi endometrium dan Thermachoice™ (terapi belon uterus) merupakan antara yang paling popular.

l Rawatan belon haba

Terapi belon uterus Thermachoice™ merupakan prosedur terbaru untuk merawat pendarahan haid yang berlebihan.

Rawatan ini adalah sebagai alternatif kepada pembedahan pembuangan rahim.

Menurut Dr Lee, kaedah terapi ini sesuai untuk merawat wanita yang mengalami pendarahan haid berlebihan akibat DUB.

"Prosedur ini menggunakan kesan haba untuk memusnahkan lapisan dalam rahim.

"Tetapi, anda perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu bagi memastikan tiada masalah rahim seperti fibroid, terutamanya jenis yang berada di dalam rongga rahim," jelasnya.

Tegas beliau, kaedah Thermachoice™ tidak boleh digunakan untuk mengubati kanser rahim.

Ia juga tidak sesuai untuk wanita yang masih ingin hamil kerana komplikasi semasa mengandung akan meningkat sekiranya pesakit hamil selepas menjalani prosedur ini.

Set Thermachoice™ terdiri dari belon yang lembut lagi mudah lentur dan mesin pengeluar haba.

Belon ini akan di masukkan ke dalam rahim melalui faraj dan pangkal rahim. Ianya disambung ke mesin tersebut melalui tiub.

Dr Lee menjelaskan belon tersebut akan dikembangkan dengan cecair agar ia dapat memenuhi seluruh ruang dalam rahim.

"Cecair di dalam belon ini akan dipanaskan sehingga 87°C dan dibiarkan sebegitu selama lapan minit agar permukaan dalam rahim dapat dimusnahkan dengan haba.

"Apabila tempoh rawatan telah berakhir, maka cecair dan belon akan dikeluarkan dari dalam rahim," ujarnya.

Jelas beliau, lapisan dalam rahim yang dimusnahkan oleh kesan haba tersebut akan mula gugur seperti pendarahan haid selama dua atau tiga minggu.

Tambahnya, lapisan dalam rahim akan menjadi sangat nipis ataupun sudah tiada lagi selepas prosedur tersebut dijalankan, menyebabkan pengurangan aliran darah haid.

Ada juga sebilangan wanita yang tidak akan mengalami haid langsung sekiranya kesemua lapisan dalam rahim dapat dimusnahkan semasa rawatan.

l Semasa dan selepas

Pesakit yang menjalani kaedah rawatan Thermachoice™ akan diberikan bius am di dewan bedah dan tidak akan berasa sakit.

Dr Lee memaklumkan pesakit mungkin mengalami ketegangan rahim seperti senggugut untuk satu atau dua hari selepas prosedur dijalankan.

"Setelah berehat selama satu hingga tiga jam di bilik pemulihan, pesakit akan dibenarkan pulang tetapi harus diiringi oleh seorang dewasa yang dapat memandu mereka ke rumah dengan selamat dan selesa.

"Doktor juga akan memberikan ubat tahan sakit supaya pesakit berasa lebih selesa semasa berehat di rumah," katanya.

Menurut beliau, sehingga 95 peratus pesakit wanita yang memilih kaedah ini berpuas hati dengan hasilnya, dengan pengurangan aliran haid atau tiada lagi aliran darah haid. Sebilangan besar dari mereka juga berasa lega dari masalah senggugut.

Tambahnya, pesakit juga boleh kembali bertugas atau bekerja selepas satu atau dua hari berehat.

Kebanyakan pesakit akan mendapati cecair berlendir berwarna merah jambu keluar melalui faraj selama dua hingga tiga minggu berikutnya.

Perlu dijelaskan bahawa beberapa aliran haid selepas prosedur dijalankan mungkin masih berlebihan tetapi ia akan berkurangan secara beransur-ansur.

Hubungan kelamin antara pasangan pula boleh diteruskan selepas dua minggu, sekiranya tiada lagi cecair atau darah yang keluar.

l Risiko

Setiap prosedur perubatan atau pembedahan mempunyai risikonya tersendiri. Begitu juga dengan prosedur Thermachoice™.

Dr Lee menjelaskan risiko prosedur ini adalah rendah dan jarang sekali berlaku.

"Ini termasuk pendarahan yang terlalu banyak, kebakaran haba kepada organ dalaman, kerosakan kepada rahim ataupun kebocoran cecair panas dari belon ke pangkal rahim atau faraj.

"Adakalanya, jangkitan kuman boleh berlaku dan ini boleh diatasi dengan pengambilan ubat antibiotik," ujarnya.

Beliau bagaimanapun menegaskan risiko atau komplikasi yang terpaksa dihadapi melalui pembedahan pembuangan rahim adalah lebih tinggi jika berbanding dengan prosedur Thermachoice™.

Secara kesimpulannya, Thermachoice™ merupakan cara baru yang kurang invasif untuk merawat masalah pendarahan haid yang berlebihan.

Kaedah ini menawarkan alternatif sekiranya wanita tidak ingin pembedahan pembuangan rahim atau pembedahan lain dijalankan.

Pada kesimpulannya, rawatan ini mempunyai banyak kelebihan termasuk:

n Rawatan yang berkesan dan selamat.

n Dijalankan sebagai prosedur harian (sebagai pesakit luar).

n Pemulihan yang cepat, di mana kebanyakan pesakit dapat kembali menjalani kegiatan harian atau tugas dalam beberapa hari sahaja.

n Risiko yang rendah berbanding dengan pembedahan pembuangan rahim atau pembedahan lain.

n Tidak meninggalkan sebarang parut di badan.

Sumber : Utusan

Tuesday, February 10, 2009

Peliharalah mata anda









MATA adalah salah satu organ manusia yang sangat berharga kurniaan Tuhan yang membolehkan kita melihat. Sistem penglihatan yang sempurna ini akan berkurang sedikit demi sedikit apabila meningkatnya usia.

Walaupun ini adalah perkara biasa dalam penuaan, masih terdapat antara kita yang kurang prihatin dalam penjagaan mata, terutamanya mereka yang berumur 40 tahun ke atas.

Terdapat beberapa penyakit dan gangguan mata yang dikaitkan dengan proses penuaan. Dengan adanya teknologi yang sering berkembang hari demi hari, penglihatan yang sempurna dan terang dapat dinikmati oleh semua golongan di hari tua.

Sayangnya, banyak yang berpendapat bahawa tiada bantuan dapat diberikan kepada masalah mata berkaitan dengan penuaan.

Salah satu gangguan mata yang sering berlaku ketika penuaan ialah presbiopia, yang bermula di kalangan mereka dalam lingkungan 40 ke 50 tahun.

Hasil dari penuaan, kanta mula hilang keanjalannya, menyukarkan untuk memfokus jarak dekat seperti aktiviti membaca.

Tetapi presbiopia boleh dibetulkan dengan penggunaan cermin mata untuk membaca atau cermin mata dengan bifocal, trifocal atau kanta (tanpa garis) progresif.

Penuaan mata juga menyebabkan kanta mata menjadi lebih tebal dan kuning iaitu pembentukan katarak awal.

Perubahan ini mungkin akan memberi kesan kepada persepsi warna dan ketajaman penglihatan.

Apabila mata melalui proses penuaan, anak mata menjadi semakin kecil, menyebabkan keperluan kepada lebih cahaya untuk melihat dengan jelas.

Terdapat juga beberapa situasi lain yang membolehkan kehilangan penglihatan, antaranya degenerasi makula, glaukoma, katarak dan retinopati diabetis.

Perkara yang paling penting di dalam penuaan mata adalah untuk menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk memastikan kesihatan mata dan pengesanan awal sebarang penyakit mata.

Berikut merupakan beberapa persoalan yang sering menjadi persoalan di kalangan pesakit:

1. Apakah faktor yang mempengaruhi kesihatan mata seseorang?

- Terdapat dua faktor utama iaitu faktor genetik dan faktor alam sekitar di samping tabiat pemakanan dan tabiat merokok seseorang.

Faktor genetik menentukan sama ada seseorang itu mengalami rabun, katarak pada umur awal, degenerasi makula dan penyakit mata lain manakala tabiat merokok pula amat mempengaruhi kesihatan mata.

2. Bagaimanakah cara terbaik untuk menjaga kesihatan mata dan mencegah kebutaan ketika umur meningkat?

- Cara terbaik adalah dengan menjaga pemakanan dengan banyak memakan ikan dan sayuran serta makanan kesihatan dan mengelakkan merokok sejak usia muda.

Seperkara lagi bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas, harus menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk mengesan penyakit mata berbahaya yang mungkin tidak mempunyai gejala, seperti kekaburan.

3. Apakah peringkat umur yang harus menjalani pemeriksaan secara berkala oleh pakar mata?

- Mereka yang sihat tubuh badan dan berumur kurang daripada 40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata setiap dua tahun dan setelah berumur 40 tahun, harus menjalani pemeriksaan setiap tahun.

Jika seseorang mengidap kencing manis atau darah tinggi, harus menjalani pemeriksaan setiap tahun walaupun berumur kurang daripada 40 tahun.

4. Kenapa mereka yang berumur 40 tahun ke atas harus menjalani pemeriksaan mata setiap tahun?

- Apabila anda berumur 40 tahun, risiko untuk mendapat penyakit mata meningkat. Penyakit mata yang berbahaya mungkin menyebabkan kebutaan termasuklah glaukoma, degenerasi makula dan katarak.

Semua penyakit ini tidak mempunyai gejala pada peringkat awal dan hanya dapat dikesan oleh pakar mata.

Pemeriksaan mata juga mungkin mengesan penyakit kencing manis dan darah tinggi melalui perubahan pada salur darah mata dalam keadaan berkenaan.

5. Apakah risiko untuk seseorang berumur lebih 40 tahun mengalami masalah gangguan penglihatan?

- Statistik menunjukkan sebanyak satu pertiga daripada mereka yang berumur 40 tahun ke atas mengalami masalah mata.

Pakar mata harus mengesan penyakit mata sebelum berlaku kebutaan yang kekal. Adalah tidak bijak untuk menunggu sehingga ada masalah sebelum menjalani pemeriksaan mata.

6. Apakah yang dilakukan ketika pemeriksaan mata oleh pakar mata?

- Pemeriksaan mata sepenuhnya mengambil masa 30 minit di mana sejarah kesihatan anda dan keluarga anda diteliti terlebih dahulu.

Pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan menggunakan berbagai alat untuk menentukan struktur mata anda sihat.

Tekanan mata juga diperiksa untuk menentukan anda tidak mengidap glaukoma. Gambar retina anda akan diambil untuk dokumentasi dan sebagai rekod status saraf mata dan retina anda.

Otot mata anda juga diperiksa untuk menentukan otot bergerak dengan sempurna. Refraksi dilakukan untuk menentukan keperluan anda untuk memakai cermin mata dan adakah cermin mata yang digunakan sesuai.

Setelah pemeriksaan dilakukan, pakar mata akan menerangkan kepada anda status mata dan memberi nasihat yang perlu untuk menjaga kesihatan mata anda.

7. Apakah pengalaman doktor dengan mereka yang merokok dan kesihatan mata?

- Saya sering berjumpa pesakit, selalunya lelaki, yang berumur kurang dari 40 tahun yang merupakan perokok tegar dan mengidap katarak pada kedua belah mata.

Terdapat juga di kalangan perokok yang mengalami degenerasi makula yang menyebabkan kebutaan kedua belah mata pada peringkat umur melebihi 65 tahun.

Mereka selalunya menyesal tetapi keadaan mata telah teruk dan mereka menjadi buta untuk selamanya dan rawatan yang mahal hanya dapat memulihkan sedikit sahaja penglihatan mereka.

8. Apakah pengalaman doktor dengan mereka yang lambat berjumpa pakar mata?

- Terdapat pesakit yang datang lewat hanya setelah mereka benar-benar tidak dapat melihat lagi.

Ini sering berlaku kepada pesakit kencing manis. Mereka menjadi buta dengan cepat dan walaupun dirawat, penglihatan hanya dapat dipulihkan dengan sedikit sahaja.

Semua warga Malaysia melebihi 40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk mengesan sebarang masalah yang wujud dari peringkat awal dan mencegah kebutaan.

Jika keluarga anda mengalami masalah mata, kencing manis, penyakit serius atau pun memakan ubat yang mungkin mempunyai kesan ke atas mata, mereka seharusnya menjalani pemeriksaan mata yang sepenuhnya.

Sumber : Utusan

Darah hitam mencurigakan








DOKTOR,
Saya mengalami haid pada waktu ini, semasa saya membuang air kecil pagi tadi, terdapat darah berwarna hitam pada tuala wanita saya.

Darah haid yang keluar hanya setitik dan darah berwarna hitam itu pula terletak pada bahagian punggung saya. Ia keluar melalui dubur saya.

Apakah punca masalah yang saya alami ini? Semasa saya membuang air besar, tidak pula berasa sakit dan tidak pernah ada darah yg keluar.

Saya juga tidak mengalami kesakitan semasa darah itu keluar, ia keluar tanpa di sedari. Harap doktor dapat membalas secepat mungkin.

- Ayu, Kuala Lumpur.

JAWAPAN,
Biasanya darah (fresh blood) berwarna merah muda dan selepas beberapa lama (old blood) akan berwarna merah gelap atau kehitaman.

Anda rasa darah lama ini datang daripada dubur, tetapi kadang kala kita boleh keliru, iaitu daripada dubur atau vagina. Kemungkinan asal darah ini adalah daripada:

1) Buasir (Piles)

Pendarahan daripada buasir tidak semestinya sakit, ada kalanya darah ini keluar banyak dan kemerahan dan ada kalanya sikit dan kehitaman. Buasir ini boleh dirasai di dubur jika buasir luar (external piles) dan tidak dapat dirasai jika buasir dalaman (internal piles).

2) Fistula

Jika anda pernah mengalami kelahiran yang traumatik, kadang kala boleh terjadi fistula daripada vagina ke dubur. Maka, bila darah haid melalui daripada vagina ke dubur, ia boleh keluar sebagai darah hitam.

3) Endometriosis

Jika anda mengalami keadaan endometriosis di dubur, maka semasa datang haid, boleh juga terjadi pendarahan di dubur. Walaubagaimanapun, biasanya pendarahan ini mungkin darah merah muda (fresh blood), maka untuk mengetahui secara tepat masalah anda sebaiknya jumpa doktor pakar sakit puan. Jika masalah anda ialah buasir doktor mungkin akan rujuk anda kepada doktor pakar bedah.

Sumber : Utusan

Memahami khasiat air

BERAPA gelas anda minum air setiap hari? Dua, tiga, empat...atau lebih? Soalan tersebut memang kerap kita dengar terutama ketika berjumpa doktor atau pakar pemakanan.

Mungkin ada yang menganggap ia soalan remeh tapi sebenarnya ia amat penting untuk mengingatkan anda supaya minum lebih banyak air.

Kita selalu memperkatakan bahawa asas kepada kesihatan yang baik ialah diet makanan yang seimbang, senaman yang kerap, rehat, sentiasa gembira dan ketawa.

Pengambilan air juga merupakan salah satu daripada asas utama ini. Jika mahukan tubuh sihat, mungkin sudah tiba masanya anda memikirkan saranan pakar iaitu minum enam hingga lapan gelas besar air sehari. Fakta-fakta di bawah mungkin membuatkan anda mula memikirkannya.

Mengapa tubuh memerlukan ‘bekalan’ air baru setiap hari?

Antara 55 peratus hingga 75 peratus berat badan adalah air. Air bahan kedua terpenting selepas oksigen yang diperlukan oleh tubuh. Berikut adalah antara sebab kenapa tubuh memerlukan air.

-Ia membantu penghadaman, penyerapan dan penyingkiran makanan yang dimakan.

-Ia membantu perkumuhan bahan buangan dari usus dan buah pinggang.

-Untuk menyelaraskan suhu badan 24/7

-Memberi kelancaran pergerakan sendi dan membran

-Darah merupakan sistem pengangkutan yang berfungsi ‘mengagihkan’ nutrien makanan ke seluruh tubuh. Hampir 92 peratus kandungan darah ialah air.

-Rembesan tubuh dan cecair penghadaman hampir keseluruhannya adalah air (sistem penghadaman menghasilkan hampir 1.7 liter air liur setiap hari)

Disebabkan fungsi-fungsi yang penting ini, dalam keadaan normal tubuh memerlukan antara satu hingga dua liter air setiap hari supaya ia berfungsi secara optimum. Jumlah ini juga bergantung kepada saiz, diet, sejauh mana individu tersebut mengamalkan gaya hidup aktif dan keadaan cuaca persekitaran.

Senarai di bawah menunjukkan bagaimana tubuh boleh kehilangan air.

-Melalui pernafasan, perpeluhan dan penyingkiran (najis dan air kencing) tubuh anda kehilangan 1.7 liter setiap hari.

-Dalam cuaca panas, perpeluhan meningkat jadi lebih banyak air diperlukan bagi membantu menyelaraskan suhu bandan dan menjadikan anda berasa selesa.

-Ketika cuaca sejuk, lembapan tambahan hilang melalui pernafasan.

-Bagi setiap jam aktiviti fizikal atau bersenam, anda memerlukan tambahan 1-3 gelas air.

-Sistem haba berpusat memberi kesan kekeringan, jadi anda perlu minum lebih banyak air atau kurangkan suhunya.

Tahukah anda?

Air adalah penahan selera secara semula jadi. Kekurangan air boleh membawa kepada makan berlebihan, ini kerana otak tidak dapat membezakan antara lapar dan dahaga, jadi apabila anda fikir anda berasa lapar kemungkinan tubuh sebenarnya memerlukan air. Jadi minum segelas besar air sebelum anda makan keran itu yang mungkin diperlukan oleh tubuh bukannya makanan seperti otak anda fikirkan.

Adakah anda penyahhidratan (dehydaration)

Ramai yang tidak menyedari tubuh sedang mengalami penyahhidratan dan. Di bawah adalah simptom-simptom menunjukkan tubuh sedang ‘dahagakan’ air.

-Pening - Salah satu fungsi utama air ialah membuang toksin dari tubuh. Otak manusia mengandungi 75 peratus air, jadi walaupun mengalami sedikit penyahhidratan boleh menyebabkan pening.

- Letih/Lemah tumpuan - Jika tubuh mengandungi terlalu banyak toksin dan tidak cukup air untuk mengeluarkannya, anda akan berasa kurang bertenaga kerana tubuh bergelut dengan toksin.

-Sembelit - Aiar melawaskan proses penyingkiran najis, jadi minumlah air secukupnya untuk melancarkan penyingkirannya.

-Mengurangkan pengeluaran air kencing/Airkencing kotor - Buah pinggang adalah penapis bahan-bahan buangan dari darah. Hampir 180 liter air dikitar semula oleh buah pinggang setiap hari. Proses ini bergantung kepada bekalan air segar yang secukupnya, tanpanya pengeluaran air kencing akan berkurangan menyebabkan bahan buangan menjadi lebih pekat menghasilkan kencing kotor.

-Mulut berbau - Jika cecair tidak cukup di dalam mulut untuk membersihkan sisa-sisa makanan, bakteria akan membiak di dalam tekak dan mulut menyebabkan mulut berbau.

-Mulut kering - Air liur merupakan bahan ‘pelincir’ mulut, penyahhidratan mengurangkan jumlah air liur.

Penyahhidratan yang teruk juga menyebabbkan:

-Ketegangan otot - Ini berlaku apabila tidak cukup oksigen sampai ke otot melalui pembuluh darah disebabkan tubuh tidak cukup air.

-Kulit - Kulit yang tidak cukup air akan hilang keanjalan. Ujinya dengan mencubit kulit di belakang tangan ia akan terlepas dengan serta merta.

-Mata - Mata cengkung dan kulit di sekeliling mata lembah menandakan penyahhidratan yang teruk.

Jadikan pengambilan air sebagai habit

Matlamat anda sekarang ialah untuk minum air secara kerap sepanjang hari. Bagi beberapa hari pertama mungkin anda akan berasa kerap ke tandas, ini kerana tubuh belum biasa dengan keadaan itu dan memerlukan masa untuk penyesuaian. Anda juga akan berasa berat badan berkurangan memandangkan simpanan air dalam tubuh menjadi berlebihan dan secara beransur-ansur anda melepaskannya.

Sumber : Utusan

Monday, February 9, 2009

Osteoartritis & Osteoporosis

DI seluruh dunia, berjuta orang mengalami masalah tulang dan sendi. Masalah seperti artritis dan osteoporosis memberi kesan yang besar terhadap mutu kehidupan seseorang. Lebih separuh penghidap penyakit sendi kronik adalah di kalangan warga tua.

Perkataan "artritis" bermaksud "radang sendi" iaitu sendi yang sakit, terasa bisa bila disentuh, mungkin kemerahan, membengkak yang dikaitkan dengan kehilangan fungsi. "Osteo" ialah perkataan Greek untuk "tulang". Terdapat lebih daripada 100 masalah yang berkaitan dengan sendi dan tulang penyambung, otot dan tisu. Penyakit ini dikelaskan dalam pelbagai jenis artritis, sama ada terdapat radang, jangkitan atau pendarahan.

Osteoartritis (OA) dikenali sebagai penyakit "degeneratif" (penyakit yang berkaitan dengan peningkatan usia) kerana ia disebabkan oleh haus dan lusuh dalam jangka masa yang lama. Kesannya sangat ketara. OA terjadi apabila rawan (tisu lembut) yang melapisi hujung tulang mula terhakis. Ini boleh berlaku apabila:

- Haus dan lusuh berlaku apabila usia semakin meningkat

- Kecederaan atau kerosakan pada sendi disebabkan oleh trauma atau jangkitan

- Rawan yang terkena penyakit lain atau lemah secara genetik

Apabila sistem lapisan pada sendi hilang, tulang akan bergeser antara satu sama lain dan menyebabkan kesakitan. Sendi akan mula berasa kaku dan pergerakan akan menjadi lemah.

Sokongan Nutrisi untuk Osteoatritis

Glukosamina dan kondroitin merupakan komponen semula jadi dalam tisu sendi yang sihat. Tugasnya ialah untuk membekalkan bahan mentah semula jadi yang diperlukan oleh rawan untuk memperbaiki dan membina semula dirinya dan menentang enzim semula jadi yang merosakkan rawan.

- Glukosamina merupakan perintis bagi molekul yang dikenali sebagai glikosaminoglikan. Molekul ini digunakan dalam pembentukan dan pembaikpulih rawan. Tidak seperti ubat NSAIDS dan aspirin, glukosamina bukan sahaja menghilangkan kesakitan tetapi juga membantu membina semula rawan.

- Kondroitin merupakan glikosaminoglikan yang paling banyak dijumpai dalam rawan dan bertanggungjawab untuk memastikan ketahanan rawan. Ia bertindak seperti 'daya penarik air'. Keupayaan kondroitin ini memberi keanjalan kepada rawan dan bertindak sebagai 'penyerap hentakan'. Kajian menunjukkan keberkesanannya meningkat sebanyak 24 peratus apabila rawatan digabungkan dengan Glukosamina Sulfat.

- Mengambil suplemen Glukosamina dan Kondroitin dapat membantu membina dan membaiki rawan, memperlahankan perkembangan OA, melincirkan sendi-sendi, mengurangkan kesakitan sendi-sendi dan kekakuan dan meningkatkan keselesaan pergerakan.

Sejak akhir-akhir ini, suplemen Glukosamina dan Kondroitin telah menarik minat orang ramai di Amerika Syarikat (AS) sehinggakan pihak berkuasa AS telah menjalankan kajian klinikal terbesar ke atas glukosamina dan kondroitin untuk menguji keberkesanannya. Keterangan terperinci mengenai ujian GAIT telah disiarkan dalam New England Medical Journal pada 23 Februari 2006.

Ujian GAIT

Ujian GAIT disifatkan sebagai 'ujian paling ketat dan rapi sehingga kini' dalam menilai keberkesanan Glukosamina dan Kondroitin terhadap sakit lutut yang berkaitan dengan Osteoatritis (OA). Ujian GAIT telah membuktikan bahawa gabungan dua suplemen ini (Glukosamina dan Kondroitin) adalah lebih berkesan untuk merawat sakit lutut OA peringkat sederhana sehingga teruk berbanding Celecoxib, sejenis perencat COX-2 (ubat anti inflamasi).

Pencegahan osteoporosis

Osteoporosis ialah keadaan kekurangan khasiat dikenali 'tulang rapuh'. Keadaan ini berlaku, terutamanya pada tulang belakang, pergelangan tangan dan pinggul yang menjadi nipis, lemah dan mudah retak.

Tulang sebenarnya adalah tisu hidup dan selalunya mempunyai tindak balas biokimia di mana ia bergantung kepada nutrien mikro dan sistem enzim yang berbeza-beza. Seperti mana tisu hidup lain, tulang memerlukan pelbagai bekalan khasiat.

Pemakanan moden kini seperti roti putih, gula putih dan lemak yang tinggi adalah tersangat kurang khasiatnya untuk tulang. Pengambilan daging dan air berkarbonat yang banyak pula menyumbang kepada menurunnya penyerapan kalsium oleh badan. Kekurangan pengambilan khasiat yang diperlukan tulang boleh menyumbang kepada osteoporosis.

Sekiranya osteoporosis tidak dicegah atau dibiarkan tanpa rawatan, ia akan berkembang perlahan-lahan tanpa berasa sakit sehinggalah ada tulang yang mengalami keretakan atau patah.

Mustahaknya mengambil suplemen kalsium telah lama diakui dalam penjagaan kesihatan tulang. Meskipun kalsium begitu penting, didapati hanya 25 peratus wanita AS yang menghidap osteoporosis mengalami kekurangan kalsium. Bukti baru ini dengan jelas menunjukkan vitamin D, magnesium, kuprum, zink, boron dan mangan juga penting untuk mewujudkan tulang yang kuat dan sihat.

Semua nutrien ini hendaklah diambil bersama untuk mendapatkan metabolisme tulang yang optimum. Malah, kekurangan hanya satu nutrien tersebut boleh mengakibatkan tulang menjadi lemah dan membawa kepada penyakit osteoporosis. Lelaki dan wanita seharusnya mengambil suplemen kalsium antara 800 hingga 1,500 miligram (mg) sehari bersama dengan makanan untuk penyerapan yang optimum.

Selain kalsium

- Vitamin D membantu badan menyerap kalsium. Paras vitamin D yang rendah adalah perkara biasa bagi wanita terutama yang sudah berusia. Kekurangan vitamin D boleh menyebabkan kekurangan kalsium dan akan menyebabkan tulang menjadi lembut (osteomalacia). Pakar mengesyorkan pengambilan harian vitamin D antara 400 dan 800 unit antarabangsa (IU).

- Magnesium perlu untuk pemeliharaan dan penggerakan kalsium dalam tulang dan diperlukan untuk penggunaan vitamin D. Kekurangan magnesium sudah menjadi perkara biasa dan merupakan faktor risiko utama bagi osteoporosis. U.S. RDA untuk magnesium ialah 400 mg setiap hari. (U.S. RDA yang disebut di sini ialah untuk orang dewasa, kecuali wanita hamil, ibu-ibu menyusu dan kanak-kanak yang berumur lebih empat tahun).

- Mangan merupakan mineral surih diperlukan untuk menghasilkan tisu-tisu sambungan yang membentuk matriks tulang, tempat pengumpulan mineral berlaku. Pengambilan harian yang disyorkan untuk mangan ialah 2 mg.

- Boron diperlukan untuk menukar vitamin D kepada bentuk aktif; ini menerangkan mengapa kekurangan boron akan menjejaskan metabolisme kalsium dan pembentukan tulang. Boron mengurangkan penyusutan kalsium dari tulang. Walaupun tidak ada RDA rasmi bagi boron, dosej harian yang mengandungi 1.5 hingga 3.0 mg adalah selamat dan mencukupi.

- Zink menyokong pembentukan tulang dengan memperkuatkan tindakan vitamin D. Zink membantu mengekalkan struktur tulang-temulang dan ia juga terbabit dalam pembinaan tulang.

- Kekurangan kuprum mungkin akan menyebabkan pengumpulan tulang yang tidak normal. Kuprum membantu membentuk blok-blok binaan untuk tulang-tulang.

Panduan Membeli Suplemen

Apabila anda mencari suplemen untuk kesihatan sendi dan tulang, pilihlah suplemen 'Ostepakej' 3 dalam 1 yang baik dengan menggabungkan Glukosamina dengan Kondroitin bersama Kalsium, serta manfaat-manfaat tambahan daripada Magnesium, Vitamin D, Boron, Mangan, Zink dan Kuprum.

Maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan seharusnya tidak digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan pengamal pakar kesihatan.

Sumber : Utusan

Bermula dari kebersihan mulut

PENYAKIT jantung, kencing manis dan obesiti adalah di antara penyakit yang biasanya dikaitkan dengan masalah kesihatan di kalangan rakyat Malaysia.

Dengan kesibukan harian, kita asyik memberi perhatian yang lebih kepada penjagaan kecergasan badan dan rupa paras, tetapi kita sering mengabaikan satu lagi aspek penting kesihatan diri iaitu kebersihan gigi.

Kebenarannya adalah, kesihatan gigi juga patut diberikan perhatian yang sama sebagaimana kita mementingkan kesihatan badan.

Berdasarkan satu penyelidikan yang dibuat melalui Tinjauan Kesihatan Oral Golongan Dewasa Kebangsaan Malaysia pada tahun 2000, didapati bahawa kebanyakan rakyat Malaysia tidak memberi perhatian dan kepentingan terhadap kesihatan gigi.

Malahan, penyelidikan itu turut mendapati sembilan daripada 10 rakyat Malaysia terdiri daripada golongan yang mempunyai masalah gigi dan penyakit gusi.

Tinjauan yang di lakukan setiap 10 tahun itu juga menunjukkan hanya 50 peratus rakyat Malaysia mengunjungi doktor gigi apabila mengalami masalah gigi.

Aspek fizikal

Kesegaran dalam senyuman adalah penting bagi setiap manusia. Tetapi penjagaan gigi tidak hanya boleh dikecapi dengan memberus gigi dua kali sehari serta mengunjungi doktor gigi.

Persoalan yang perlu kita semua tanya kepada diri sendiri adalah, adakah saya memberus gigi dengan berkesan?

Kedua, adakah saya mengamalkan langkah-langkah pencegahan kerosakan gigi yang sepatutnya seperti pengunaan berus gigi yang betul?

Penyakit Periodontal

Periodontitis merujuk kepada penyakit pembengkakan (inflammatory disease) yang memberi kesan pada struktur 'periodontium' iaitu tisu-tisu yang mengelilingi gigi dan bertindak sebagai penyokong gigi kita.

Memberus gigi dapat memecahkan plak, iaitu sekumpulan bakteria dan sisa makanan yang membentuk biofilm, dan seterusnya akan membentuk satu lapisan keras di sekitar permukaan gigi dan gusi kita.

Sasaran kita adalah untuk memecahkan biofilm setiap hari ketika memberus gig sebelum ianya mula merebak.

Mengabaikan kesihatan gigi dan tidak mengambil langkah-langkah penjagaan yang baik boleh menyebabkan pembiakan meluas bakteria berbahaya (pathogenic bacterial overgrowth), yang akhirnya boleh menjangkiti tisu-tisu gusi kita.

Bermula di mulut

Kesihatan yang baik bermula di mulut. Ini kerana permulaan proses pencernaan makanan ataupun permulaan sistem penghadaman berlaku di dalam mulut kita.

Kebolehan untuk mengunyah dan menghadam makanan juga merupakan satu faktor penting dalam menjaga kesihatan diri.

Kesimpulannya, mulut yang bersih dapat mengurangkan risiko mendapati penyakit gigi seperti periodontitis yang boleh menyumbang kepada permulaan penyakit serius seperti penyakit jantung dan kencing manis.

Nutrisi memainkan dua peranan yang berbeza dalam kesihatan gigi iaitu perlindungan dan pencegahan.

Peranan perlindungan adalah untuk mengekalkan kesihatan mulut dan mengelakkan tisu-tisu yang melindungi mulut secara semula jadi daripada dijangkiti bakteria.

Memupuk sifat mengambil berat

Rakyat Malaysia perlu memberi keutamaan kepada kesihatan gigi bagi mengekalkan gaya hidup yang sihat dan perlu berhati-hati dalam pemilihan pemakanan.

Pencegahan plak harus di mulakan di rumah dengan amalan dan penggunaan alatan pembersihan gigi, seperti berus gigi, yang betul.

Berikut adalah tip-tip penjagaan gigi yang berguna bagi pengguna yang ingin memperbaiki kesihatan gigi mereka:

* Memupuk sifat berhati-hati, bernas dan munasabah ketika memilih makanan. Ini adalah peraturan yang bukan sahaja baik bagi kesihatan gigi, malahan untuk kesihatan badan juga.

* Pastikan anda menggunakan berus gigi yang betul dan ganti berus gigi sekali setiap tiga bulan.

* Seboleh-bolehnya berus gigi dengan ubat gigi berfluorida dua kali sehari.

* Membuat lawatan berkala, sekerap mungkin ke doktor gigi.

* Mengehadkan pengambilan makanan dan kurangkan memakan makanan ringan terutamanya yang mengandungi gula.

Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Plak dapat di singkirkan secara efektif dengan memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali setiap hari, selepas makan, dengan menggunakan berus gigi yang betul.

Memilih berus gigi yang betul serta mempunyai kebolehan menyingkir plak adalah penting bagi mengekalkan kesihatan gigi yang baik.

Dalam usaha membantu meningkatkan tahap kesihatan gigi dan gusi rakyat Malaysia, Oral-B telah memperkenalkan berus gigi yang direka khas untuk penyingkiran plak secara efektif seperti berus gigi Oral-B CrossAction Massage.

Antara ciri unik berus gigi tersebut adalah CrisCross bristles (berus silang pangkah) dan gum stimulators (stimulator gusi) yang dapat membantu menyingkirkan plak dengan lebih efektif.

Sumber : Utusan

Friday, February 6, 2009

Keletihan & mudah lupa

Saya ingin mencuba suplemen atau vitamin untuk melegakan masalah keletihan yang sering membataskan aktiviti harian saya.

Adakalanya saya mudah lupa dan ini boleh menjejaskan prestasi kerja saya di pejabat. Manakala di rumah tenaga saya juga diperlukan untuk tugasan rumah tangga dan anak-anak. Apakah suplemen yang sesuai untuk saya?

Jawapan:

Diet merupakan antara faktor utama yang perlu dititikberatkan. Untuk memastikan sel mendapat oksigen yang mencukupi, ia memerlukan sesuatu yang lebih, selain daripada bekalan darah yang baik.

Vitamin dan mineral juga diperlukan dalam metabolisme tenaga. Vitamin B dikenali sebagai 'vitamin untuk tenaga', tetapi sebenarnya ia adalah untuk metabolisme karbohidrat, protein dan lemak supaya badan dapat membakarnya dengan lebih berkesan untuk ditukarkan kepada tenaga. Dengan itu, pengambilan vitamin B kompleks mungkin dapat membantu anda.

Keletihan yang dialami mungkin juga disebabkan oleh stres dan rehat yang tidak mencukupi. Pengekalan fungsi imun yang optimum juga memerlukan diet yang sihat dan seimbang, gaya hidup yang sihat serta rehat yang secukupnya.

Jangan lupa untuk meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar ke dalam diet seharian kerana ia diperlukan untuk kesihatan dan sumber tenaga.

Adalah penting bagi anda supaya minum air dengan secukupnya supaya dapat melancarkan lagi sistem perkumuhan dan penyingkiran toksin dari badan. Ia juga sangat penting untuk mengelakkan dehidrasi dan mengelakkan keletihan.

Mengambil spirulina organik merupakan antara pilihan ideal untuk mereka yang memerlukan nutrien tambahan untuk menampung keperluan tubuh.

Spirulina dikenali sebagai 'superfood' kerana kandungan protein yang tinggi, beta karotena, kumpulan vitamin B seperti B12, B6, niasin, biotin, asid pantotenik dan asid folik yang kaya, mineral, asid lemak perlu (omega-6), pigmen tumbuhan dan enzim semula jadi untuk asimilasi dan kecergasan fizikal.

Selain itu, spirulina organik juga boleh dimanfaatkan untuk kanak-kanak, memandangkan kandungannya yang kaya dengan nilai pemakanan, tentu ia diperlukan semasa tempoh tumbesaran fizikal dan perkembangan minda.

Ia juga mengandungi bahan kimia daripada tumbuhan seperti fikosianin dan glikolipid dan sebagainya yang diperlukan untuk membaik pulih sel.

Sumber : Utusan

Thursday, January 29, 2009

sinusitis & batuk berterusan

SOALAN

DOKTOR,
Setiap hari saya menemui tahi hidung yang menyerupai kerak hingus yang berwarna kuning cair dari hidung saya. Kadang kala, hidung saya juga menghidu bau yang kurang menyenangkan secara tiba-tiba. Apabila dilihat di dalam hidung, rongga di dalam hidung itu seakan-akan merah (seperti ada ketulan daging di dalam rongga hidung).

Ini merunsingkan saya. Kini saya masih belum mencuba apa-apa ubat untuk merawat. Harap doktor dapat membantu persoalan saya ini. Terima kasih.

n Noreen manja

JAWAPAN

Simptom anda iaitu kerak hidung kekuningan dan nafas berbau selalunya dikaitkan dengan masalah sinusitis.

Ketulan daging didalam rongga hidung pula mungkin merupakan anatomi hidung yang normal iaitu turbinate.

Namun, kadang kala seseorang itu juga mungkin mengalami penyakit polyp hidung yang juga menyerupai turbinate.

Sebelum mencuba apa-apa jenis perubatan, adalah baik jika anda menjalani pemeriksaan endoskopi hidung untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan jelas tentang masalah yang dihadapi.

Imbasan CT juga mungkin boleh menolong untuk membuat diagnosis yang lebih tepat dan menentukan rawatan yang lebih sesuai.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Wednesday, January 21, 2009

Gusi tiba-tiba bengkak dan berdarah

dapatkan rawatan segera jika dapati gusi merah dan bengkak

Bangun sahaja dari tidur, Rahim merasai sesuatu yang tidak kena pada gusinya. Bingkas ke depan cermin, dia melihat ke dalam mulutnya. Gusinya bengkak dan merah. Apa yang tidak kena pada gusiku, katanya di dalam hati sambil fikirannya menerawang jauh, mungkinkah kanser mulut!

Hatinya benar-benar berdebar kerana jika benarlah ia kanser, maka gelaplah kehidupannya malah keluarganya juga. Ini kerana bukan sahaja dia menderita tetapi isteri dan anak-anaknya turut serta. Ini kerana dia adalah satu-satunya pencari nafkah untuk keluarganya.

Rahim bingkas mandi dan terus menyiapkan diri untuk ke klinik. Dia tidak mahu membuang masa untuk mengetahui apa yang berlaku pada gusinya. Sebelum ini tidak pernah berlaku padanya.

Setelah dipanggil masuk dan dijalankan pemeriksaan, doktor memberitahu ia cumalah penyakit gusi dan bukannya kanser mulut seperti yang disangka oleh Rahim sebelum ini.

Menurut kajian yang dijalankan oleh pakar penyelidik, penyakit gusi disebabkan oleh bakteria yang boleh membawa kepada keradangan gusi atau gingivitis. Apabila ini berlaku, gusi akan menjadi merah, bengkak dan mudah berdarah.

Daripada kajian itu, tiga daripada empat orang dewasa yang berusia 20 tahun ke atas akan mengalami penyakit gusi. Bagi sesetengah orang, penyakit ini akan berulang lebih daripada sekali. Penyebab utama penyakit gusi ialah bakteria dalam bentuk lekitan dan pembentukan plak tidak berwarna yang sering terdapat pada leher gigi. Walau bagaimanapun terdapat juga faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi atau menyumbang kejadian penyakit gusi.

Penyakit gusi bermula dengan sedikit keradangan pada gusi dan melarat hingga merosakkan tisu lembut dan tulang yang menyokong gigi. Keadaan ini jika dibiarkan boleh menyebabkan kehilangan gigi.

Jika gingivitis tidak dirawat, periodontitis akan terjadi. Periodontitis menyebabkan gusi tertarik menjauhi leher gigi dan membentuk poket yang terinfeksi. Toksin yang dihasilkan oleh bakteria pula boleh memusnahkan tulang dan tisu penghubung yang berfungsi sebagai tapak pemegang gigi.

Jika tidak dirawat, tulang, gusi dan tisu berhampiran yang menyokong gigi akan musnah. Gigi menjadi longgar dan akan tercabut.

Rawatan

Tujuan utama rawatan penyakit gusi adalah mencegah berlakunya jangkitan. Terdapat pelbagai jenis rawatan mengikut keparahan penyakit gusi tersebut. Semua rawatan memerlukan penjagaan yang baik di rumah oleh pesakit. Selain itu, cara hidup juga perlu diubah seperti menghentikan merokok untuk membantu proses pemulihan.

Pertama, rawatan periodontal tanpa pembedahan, termasuk penskaleran dan 'root planing' (suatu cara membersih permukaan akar untuk membuang plak dan kalkulus dari poket periodontal dan melicinkan akar gigi). Pembedahan ini diikuti dengan rawatan tambahan seperti anti microbials yang diperlukan dalam kes-kes biasa.

Sementara itu, gingivitis merupakan penyakit gusi yang kurang serius. Biasanya ia dapat disembuhkan dengan pemberusan setiap hari, mengguna flos serta pembersihan secara berkala oleh doktor pergigian. Penyakit gusi jenis ini tidak mengakibatkan kehilangan gigi atau tisu yang memegang gigi.

Selepas penskaleran, kebanyakan pesakit tidak memerlukan rawatan aktif selanjutnya. Walau bagaimanapun, majoriti pesakit akan memerlukan terapi yang berterusan untuk mengekalkan kesihatan gusi.

Pembedahan akan dilakukan apabila tahap kesihatan penyakit gusi yang baik tidak dicapai.

Terdapat beberapa pembedahan untuk penyakit gusi termasuk:

  • Pembersihan terbuka - kalkulus dibuang dari permukaan akar gigi di dalam poket.
  • Grafting tulang - tulang pesakit atau tulang tiruan diletakkan di dalam kawasan yang terlibat (contoh: kawasan kehilangan tulang).
  • Regenerasi tisu terkawal - membran diletakkan di antara tulang dan gusi untuk menggalakkan pertumbuhan tisu gusi.

Keberkesanan rawatan bergantung pada keupayaan anda untuk mengekalkan kesihatan mulut yang baik di rumah. Ikut arahan doktor pergigian dan patuhi temu janji anda.

Hal ini penting terutamanya selepas pembedahan. Anda perlu ikut arahan doktor (contoh: pengambilan ubat seperti analeksia dan antibiotik jika diberi) dan beritahu jika terdapat sebarang masalah (contoh: terdapat bahagian yang bengkak atau demam).

Sumber : Utusan