Monday, March 2, 2009

Apabila kaum isteri lepak kedai kopi ...

TINGKAH laku dan sifat-sifat murni seorang wanita biasanya mendapat perhatian di mana sahaja mereka berada. Baik akan dipuji, begitulah sebaliknya malah pekerti mulia seorang wanita amat disanjung tinggi dan dihargai.

Tapi bagaimana jika seseorang wanita tidak pandai menjaga maruah diri dan bersikap kurang sopan di khalayak?

Inilah intipati kisah saya minggu ini. Kisah yang berlaku di sebuah pusat membeli-belah terkenal di ibu kota membabitkan dua orang wanita.

Ketika itu, saya bersama anak bongsu singgah menjamu selera di dalam perjalanan ke rumah seorang saudara.


Ketika kami sampai, tidak ramai pelanggan di situ. Bersama kami masuk dua wanita yang agak ranggi, tergopoh-gapah mereka mencari tempat duduk yang jauh daripada orang lain.

Sepasang suami isteri bersama dua anak mereka duduk di penjuru kafe sementara di bahagian tengah terdapat sepasang kekasih sedang leka berbual.


Selesai memesan makanan saya dan anak mula berbual, sayangnya perbualan kami ditenggelami dengan suara lantang dua wanita ranggi yang masuk tadi.


Tersentak pasangan suami isteri berhampiran meja saya. Begitu juga pasangan yang duduk di penjuru kafe turut berhenti makan.

Sekejap kedua-dua wanita itu ketawa, sekejap mereka menjerit, pada masa lain nampak mereka serius. Tangan pula tidak lekang menjawab telefon bimbit dan bermain khidmat pesanan ringkas (SMS).

Tidak tahu apa topik perbualan, masing-masing garang dengan hujah sendiri. Melihat macam ada yang tidak kena saya mula memberi perhatian kepada kedua-dua wanita tersebut.

Oleh kerana kedudukan kami yang berselang hanya satu meja sahaja, segala perbualan kedua-dua wanita itu memang jelas di telinga sekali gus memudahkan kerja saya.

Memang betul, salah seorang daripada mereka sedang menghadapi masalah rumah tangga sementara yang seorang lagi pastinya bertindak sebagai penasihat.

"Kalau aku jumpa perempuan itu mesti aku ganyang punya. Geram betul. Suami aku dah seminggu tidak pulang, entah-entah pergi lepak dengan perempuan itu,'' kata si A yang pastinya empunya masalah.

Temannya yang saya kira sebagai penasihat tadi nampak serius mendengar masalah sahabatnya itu.

''Engkau pasti perempuan itu yang goda suami engkau?" soal M seperti tidak percaya.

''Ya ... aku dah tengok dia dari dekat berdasarkan gambar yang ada dalam telefon bimbit suami aku. Tak salah lagi, dialah orangnya, memang gatal betul,'' balas A.

"Okey, kalau macam itu kita intip mereka untuk mendapatkan kepastian. Engkau berani ke nak ikut mengintip? Kita tak boleh nak serbu tentu hala. Kalau dah ada bukti dan sah dia orangnya, senang sikit kerja kita,'' cadang M.

Saya menjeling ke arah mereka, nampak A tersenyum lega, mungkin termakan cadangan M.

"Kalau dapat perempuan itu memang aku kerja habis-habisan. Suami aku pun aku lanyak nanti. Aku panas betul ini... dalam ramai lelaki bujang di Malaysia ini, suami aku pula nak dikebas. Macam tidak ada lelaki lain,'' kata A geram.

''Engkau pun sama, garang sangat dengan suami... sampai tak boleh dia nak bergerak ke mana, itu sebab dia cari lain,'' M menempelak.

Saya nampak wanita itu muncung memandang A. "Macam mana tak garang, kalau aku tak buat macam itu, apa pun aku tak dapat. Duit gaji dia sekarang aku pegang. Kad ATM dia dengan buku akaun sekali aku simpan, padan muka!'' katanya megah.

Yang peliknya M bukan memberi nasihat tetapi menyokong pula keburukan yang A lakukan terhadap suaminya.

Bukan niat saya untuk menjaga tepi kain mereka tetapi sikap mereka sedikit sebanyak menjadi sebab saya berminat mendengar perbualan mereka itu.

Bukan saya saja malah pelanggan lain berhampiran turut memberi perhatian dan menggeleng kepala melihat telatah mereka.

Pada saya sepatutnya kedua-dua wanita itu menjaga ketertiban mereka apabila hendak bercerita tentang masalah rumah tangga.

Semakin rancak

Bukan tidak boleh berbual di tempat terbuka seperti itu tetapi biarlah bersopan, maknanya perlahan dan tidak menganggu tetamu lain di kafe tersebut.

Ini tidak, sudahlah bahasa yang digunakan kasar dan tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang wanita, sikap mereka yang duduk tidak beradab juga mengundang perhatian tetamu yang ada di dalam kafe tersebut.

Saya perhatikan pelayan-pelayan di kafe itu juga malu-malu alah dengan pelanggan lain yang sedang makan di situ. Hendak dihalau wanita dua orang itu tidak manis pula, nak ditegur juga mungkin mereka tidak berani.

Mahu tidak mahu mereka membiarkan keadaan pulih sendiri. Masalahnya sehingga dua jam berlalu, kedua-dua wanita tersebut masih tidak berganjak tetapi semakin rancak mereka berbual.

Yang saya hairan, kenapa mereka tidak ambil kira sikap mereka menganggu orang lain, sepatutnya mereka merasa malu kepada orang keliling.

Ketika saya meninggalkan kafe itu setelah selesai makan dan minum, mereka masih rancak berbual. Sanggup pula mereka menghabiskan berjam-jam bercerita tentang keburukan suami. Hairan juga saya, tak ada kerja lain ke?

Saya mengharapkan kedua-dua wanita itu akan sedar sikap mereka yang tidak manis itu dan berubah untuk menjadi wanita Melayu yang dikagumi bukan kerana kelantangan sikap dan kata-kata tetapi kerana pekerti mulia sebagai wanita, isteri dan ibu.

Lalu teringat saya akan kata-kata seorang ustaz bahawa memilih wanita yang berasal dari lingkungan yang baik dan karakter yang benar-benar solehah akan menghasilkan ketenangan dalam hidup berumah tangga.

Saya setuju dengan kata-kata tersebut. Bukan niat memburukkan kaum sejenis tetapi dalam perkara ini amat wajar wanita ditegur jika sudah keterlaluan.

Mengingatkan diri saya juga, ingin saya ajukan soalan, wanita selalu mencari kesilapan suami tetapi pernahkah wanita mencermin diri untuk meletakkan diri sebagai isteri dan ibu yang sempurna di mata suami dan anak-anak?

Saya pasti setiap suami teringin dan mengidam seorang isteri solehah, begitu juga dengan isteri.

Semoga kisah ini akan memberi keinsafan kepada mereka yang mahu menerimanya. Juga kepada kaum Adam agar mendidik pasangan mereka menjadi wanita yang baik dalam rumah tangga.

Sesungguhnya sebagai hamba Allah yang serba kekurangan, kita tidak sempurna dalam segala segi baik sebagai suami mahupun isteri.

Pesan saya kepada yang masih tercari-cari calon isteri, carilah wanita yang mukminah, wanita solehah yang jiwanya suci bersih, akidahnya murni, akhlaknya agung, dan perangainya baik untuk menjadi ratu dalam rumah tangga.

Setakat cantik rupa paras, bergaya dan anggun penampilan tentunya tidak mencukupi tanpa ilmu dunia akhirat yang sarat di dada.

Sabda Rasulullah saw:'' Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: Hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaknya engkau utamakan wanita yang memiliki agama, (jika tidak) nescaya kedua tangan-mu akan berdebu (miskin merana)." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Mengundur diri, maaf saya pohon jika ada yang terasa hati, sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan yang buruk itu pastinya daripada saya, hamba-Nya yang kerdil dan naif.

Sumber : Utusan

No comments: