Monday, January 12, 2009

Rawatan telur ikan membuai jiwa

Memanjakan diri bersama urutan dan rawatan badan yang penuh dengan teknik dan kemahiran unik serta profesional bagai menikmati ketenangan jiwa untuk selama-lamanya.

Diulit pula dengan bahan-bahan penjagaan terbaik untuk kulit oleh ahli terapi dari hujung rambut hingga ke hujung kaki umpama membuai jiwa dan mengembalikan tenaga yang hilang.

Kini, bersantai sambil merehatkan badan di spa menjadi satu keperluan dominan khususnya warga kota atau mereka yang penat setelah bekerja keras saban hari. Ramai yang sedar tubuh memerlukan rehat dan penjagaan untuk meneruskan tugasan dan kehidupan di hari seterusnya.

Sehubungan itu, mengunjungi spa adalah cara terbaik untuk mengembalikan kecergasan tubuh dan memanjakan diri.

Bertempat di Hotel Istana, Kuala Lumpur, Sompoton Spa, nama unik dan kontemporari yang diambil daripada nama alat muzik tradisional Sabah yang memberi irama yang merdu dan membuai minda, menawarkan pengalaman bermanja tubuh eksotik.

Berkunjung di sini pasti memperoleh perkhidmatan terbaik daripada ahli terapi spa yang terlatih dan berpengalaman.

Mengkombinasi kaedah tradisional Melayu serta pengaruh dari Jepun, Sweden dan Bali, Sompoton Spa merupakan lokasi untuk mendapatkan khidmat urutan yang terbaik dan memperbaharui semula badan, minda dan rohani.

Di Sompoton Spa, para pengunjung bukan hanya dihadkan kepada khidmat spa tetapi juga ditawarkan dengan penggunaan produk penjagaan kulit yang terkenal, Pevonia Botanica yang diperbuat daripada telur ikan dari Laut Kaspian.

Produk ini merupakan pilihan spa-spa terkenal dunia malah telah mendapat anugerah Baccarat Best Spa Products dari 2005 hingga 2007 dan Best Skincare and Bodycare oleh Malaysia Spa & Wellness Award pada Disember 2007.

Bahan asasnya yang diperbuat daripada telur ikan ini merupakan jalan penyelesaian kepada kulit bermasalah bagi mendapatkan perubahan yang segera dan berkesan. Pevonia menawarkan rangkaian produk Pevonia Caviar Face Mask dan Tropicale De-aging Body Treatment.

Pengarah Urusannya, Megan Tan berkata, penggunaan produk telur ikan ini dijamin memberi kesan segera terutamanya dalam rawatan terapi tangan dan kaki serta terapi muka.

"Ia adalah pilihan kepada botoks. Pelanggan yang menggunakannya pasti merasai perubahan sebaik sahaja selesai membuat rawatan. Apabila digunakan pada tangan dan kaki, kecerahan jelas kelihatan begitu juga dengan muka akan kelihatan lebih berseri, segar dan tompok-tompok hitam serta jeragat pudar warnanya serta garis-garis penuaan akan semakin berkurangan.

"Setiap ekstrak telur ikan mengandungi 98 peratus telur ikan dan dua peratus rumpai laut. Justeru itu, keberkesanannya begitu cepat, maka Sompoton Spa memilihnya sebagai produk utama bagi memberi kepuasan kepada pelanggan,'' katanya ketika merasmikan pembukaan semula Sompotan Spa baru-baru ini.

Sementara itu, persekitarannya juga eksklusif dan mewah. Semuanya hasil kombinasi mantap hiasan dalaman dan seni bina kontemporari yang menggunakan banyak elemen tradisi dan moden.

Spa yang dilengkapi 10 buah bilik terapi perseorangan dan dua bilik berkatil kembar bertutup ini menawarkan khidmat seperti rawatan muka, urut, pakej spa, rawatan lulur badan dan penjagaan kesihatan.

Selain penggunaan Pevonia, Sompoton Spa turut menggunakan bahan-bahan herba dan rempah ratus di dalam menu rawatan spanya seperti minyak gamat dan Tongkat Ali.

Sompoton Spa direka khas untuk membantu menghilangkan sakit badan, ketegangan, masalah sakit otot dan tekanan badan serta penjagaan kulit. Pelbagai kombinasi rawatan ditawarkan untuk mengembalikan kecergasan badan dan minda. Pakej rawatan dari RM70 hingga RM550.

Pelanggan yang ingin mengunjungi Sompoton Spa di Hotel Istana boleh membuat tempahan awal untuk mengelakkan ketiadaan tempat.

Sumber : Utusan, ARKIB : 05/01/2009

No comments: