Usia emas tidak semestinya bermakna kita perlu menerima kebarangkalian menjadi buta, malahan ia boleh dicegah atau sekurang-kurangnya dilambatkan dengan langkah pencegahan dan rawatan terkini. Katarak, glaukoma, kemerosotan makula berkaitan usia (AMD) dan retinopati diabetik, yang paling banyak menyebabkan masalah mata dan kebutaan warga emas, tidak perlu menjadi masalah besar jika langkah sewajarnya diambil lebih awal.
Mudarat
Pengerusi Persatuan Oftalmologi MMA dan Pengarah Pusat Mata dan LASIK, Pusat Perubatan Prince Court, Profesor Dr. Muhaya Mohamad menjelaskan mata merupakan antara struktur badan yang mempunyai metabolisma paling tinggi.
“Lebih 126 juta fotoreseptor mata berfungsi setiap milisaat dan tidak berhenti selagi mata dibuka untuk melihat.
“Begitu banyak salur darah halus membolehkan metabolisma tinggi ini berterusan dan mata terus melihat,” katanya.
Menurut beliau, tahap kesihatan mata juga dapat menjadi penunjuk kepada tahap kesihatan badan seseorang.
Oleh itu, beliau menasihatkan pemeriksaan berkala untuk mata perlu dimulakan dari umur 40-an, atau lebih awal lagi, dan bukan hanya diperiksa selepas masalah penglihatan mula timbul.
Struktur mata terbina daripada beberapa bahagian berbeza seperti kanta, retina, saraf optik, makula, salur darah halus dan kornea. Kehilangan penglihatan mungkin boleh dirawat atau tidak, bergantung kepada struktur yang terjejas, pengesanan awal (saringan) dan langkah pencegahan.
Menurut Dr. Muhaya, mata juga menjadi mangsa kelalaian manusia yang menghabiskan antara 20 hingga 40 tahun pertama hidup dengan ‘mendera badan sendiri’.
“Ramai rakyat negara ini gemar memakan nasi lemak dan minuman berkarbonat beberapa kali setiap hari.
“Perangkaan terbaru juga menunjukkan semakin ramai golongan muda negara ini (di bawah umur 40 tahun) yang menghidap diabetes jenis kedua, seawal umur 20-an lagi,” ujarnya.
Gejala ini jelasnya, akan membawa kepada komplikasi salur darah halus (mikrovaskular) yang banyak terdapat pada mata. Retinopati diabetik merupakan punca utama kebutaan boleh dicegah dunia, dan mungkin menyebabkan pesakit buta seawal usia 30-an.
Secara kebiasaannya, golongan kanak-kanak dan remaja lebih banyak menghidap diabetes jenis pertama sementara diabetes jenis kedua lebih banyak menyerang golongan dewasa melebihi umur 40 tahun.
Menurut Dr. Muhaya, paras gula tinggi (hiperglisemia) dan tempoh menghidap diabetes (lebih lama lebih bahaya) menentukan risiko menghidap retinopati diabetik.
“Ujian saringan mata yang dijalankan di tujuh negeri seluruh Malaysia pada 2002 menunjukkan 2,138 daripada 6,288 (34 peratus) pesakit diabetes sudah mula menghidap retinopati diabetes.
“Diabetes juga boleh membawa kepada komplikasi makulopati diabetik (pengumpulan lemak di dalam mata) dan glaukoma diabetik,” jelasnya.
Oleh itu tegasnya, doktor yang mengesan pesakit menghidap diabetes perlu juga merujuk mereka kepada pakar mata untuk pemeriksaan. Kajian menunjukkan, selepas 20 tahun, hampir semua pesakit diabetes jenis pertama dan lebih 60 peratus dengan diabetes jenis kedua akan menghidap satu tahap retinopati diabetik.
Utama
Dr. Muhaya menjelaskan punca utama kebutaan dunia ialah katarak yang menyebabkan kanta mata (yang jernih) menjadi legap sehingga cahaya tidak dapat sampai ke retina. Lebih 50 peratus warga emas berumur lebih 65 tahun menghidap katarak.
“Katarak tidak boleh dicegah tetapi boleh dirawat. Ianya juga mudah dikesan jika kanta sudah legap tetapi boleh dikesan dari peringkat awal melalui ujian pengembangan anak mata dan ujian ketajaman penglihatan.
“Pesakit diabetes juga berisiko mendapat katarak lebih muda (sekitar umur 45 tahun). Mereka juga mungkin mengalami katarak gula (mata tiba-tiba kabur) akibat pengumpulan terlalu banyak gula dalam mata,” katanya.
Tambah beliau, pembedahan katarak (menukar kanta legap) merupakan pembedahan mata yang paling banyak dijalankan di seluruh dunia kini.
Katanya lagi, perkembangan teknologi terkini membolehkan potongan sekecil 2.2 milimeter dibuat untuk membuang kanta yang legap dan memasukkan kanta (tiruan) baru.
Glaukoma pula merupakan sekumpulan keadaan di mana tekanan di dalam mata menjadi terlalu tinggi yang seterusnya menjejaskan saraf optik di belakang mata. Penyakit ini juga boleh menyebabkan kebutaan jika tidak dirawat segera, akibat sambungan mata ke otak (saraf optik) terputus.
Masalah mata ini juga dikenali sebagai ‘pencuri senyap penglihatan’ kerana mungkin tidak menunjukkan simptom jelas dan menyebabkan kehilangan penglihatan secara perlahan-lahan. Ujian saringan penting apabila melangkaui umur 40 tahun, terutamanya jika mempunyai sejarah keluarga dengan masalah tersebut.
Dr. Muhaya memaklumkan punca utama kebutaan di negara-negara Barat adalah kemerosotan makula berkaitan usia (AMD), yang juga merupakan punca kedua utama kebutaan dunia.
“AMD adalah penyakit kemerosotan retina yang memberi kesan kepada makula, iaitu bahagian dalam mata yang membolehkan kita melihat sesuatu secara terperinci.
“Penyakit ini tidak menyebabkan rasa sakit tetapi jika ia berkembang dengan pantas, mungkin akan menyebabkan kehilangan penglihatan kedua-dua belah mata,” ujarnya.
Beliau menjelaskan pesakit AMD mungkin mengalami kesukaran dengan tugas visual seperti membaca, menentukan masa, mengenali muka dan memandu.
Tambahnya, berbanding katarak yang lebih mudah dikesan, glaukoma, retinopati diabetik dan AMD yang menjejaskan bahagian belakang mata boleh dikesan melalui ujian saringan yang kini terdapat di kebanyakan hospital dan klinik.
Selain empat penyakit utama berkenaan, seseorang itu juga berkemungkinan menjadi buta akibat tumor otak yang menekan mata atau saraf optik. Kecederaan (trauma), pendarahan dan parut (selepas pendarahan) pada retina atau saraf optik juga boleh menyebabkan pesakit menjadi buta.
Pencegahan awal
Walaupun kini terdapat teknologi moden yang dapat membantu rawatan penyakit-penyakit mata tersebut, pilihan utama tetap kepada pencegahan bagi mengekalkan struktur dan fungsi semula jadi mata. Dianggarkan lapan juta penduduk dunia melebihi umur 55 tahun menghidap AMD, dengan 1.3 juta daripadanya akan membentuk AMD yang teruk jika tidak dirawat.
Beberapa kajian yang telah dan sedang dijalankan menunjukkan peranan antioksidan, zink dan asid lemak omega-3 memberi kesan positif dalam mengurangkan risiko dan melambatkan pembentukan AMD.
Menurut Dr. Muhaya, selain pemeriksaan berkala, pencegahan dengan pengambilan antioksida dapat membantu mengurangkan kandungan radikal bebas di dalam badan, terutamanya pada mata.
“Antioksidan seperti vitamin A, E dan beta karotin bertindak seperti `pengelap lantai’ yang membuang radikal bebas dan melindungi retina daripada tekanan oksidatif.
“Kajian menunjukkan pengambilan diet kaya dengan vitamin E dan zink mungkin bermanfaat dalam mengurangkan risiko AMD, sehingga 35 peratus jika ditambah vitamin C dan beta karotin,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan pengambilan antioksidan dan zink melalui diet semata-mata mungkin tidak mencukupi tetapi boleh ditambah melalui pengambilan suplemen kedua-duanya.
Katanya lagi, seseorang perlu makan 24 setiap tiram (kaya dengan zink) dan 1,400 badam (kaya vitamin E) setiap hari untuk mendapatkan kesan perlindungan gabungan zink dan antioksidan.
Contoh antioksidan yang larut air adalah vitamin C dan glutathione sementara yang larut lipid adalah seperti vitamin E, retinoid dan karotinoid. Dalam pada itu, pengambilan beta karotin telah dikaitkan dengan risiko kanser paru-paru di kalangan perokok. Untuk menangani masalah ini, beta karotin boleh digantikan dengan lutein, sejenis karotinoid, untuk mengurangkan risiko AMD.
Menurut Dr. Muhaya, kajian menunjukkan lutein meningkatkan kepadatan pigmen optikal makula mata dan meningkatkan ketajaman penglihatan jarak dekat, pemulihan silau dan sensitiviti kontras.
“Gabungan lutein dan zeaxanthin juga didapati dapat memberi kesan perlindungan mata daripada AMD.
“Berdasarkan beberapa kajian, pengambilan bersama asid lemak omega-3 (seperti DHA, EPA), lutein dan zeaxanthin mungkin lebih berkesan menurunkan risiko AMD,” ujarnya.
Oleh itu, beliau menekankan pengambilan suplemen tambahan tertentu untuk melindungi mata dari kesan peningkatan usia.
“Adalah lebih baik pengambilan suplemen bagi kesihatan mata dimulakan seawal mungkin untuk perlindungan jangka panjang.
“Jika difikirkan pengambilan suplemen yang dapat melindungi mata (dan badan) dirasakan mahal, ianya tidak semahal penyakit yang boleh meragut penglihatan anda,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment