BULAN Oktober lalu merupakan bulan kesedaran kesihatan payudara, bukan sahaja bagi meningkatkan pengetahuan umum tentang penyakit payudara malahan menekankan pentingnya pemeriksaan dan pengesanan awal.
Kanser payudara sememangnya bukan satu isu baru yang dikaitkan dengan wanita tetapi lelaki pula dilihat hanya memainkan peranan kecil dalam menangani peningkatannya sebelum ini.
Banyak pihak telah mengutarakan dan menekankan betapa pentingnya peranan lelaki dalam meningkatkan kesedaran kanser payudara di kalangan wanita.
Bukan hanya dalam menggesa wanita menjalani ujian saringan dan pemeriksaan berkala, malahan lelaki perlu menyokong di sepanjang proses diagnosis dan juga rawatan jika disahkan menghidap kanser payudara.
Suami, bapa, adik-beradik, anak dan rakan lelaki boleh memainkan peranan dalam hidup seorang wanita dengan menggalakkan mereka menjalani pemeriksaan supaya sebarang ketumbuhan berbahaya dapat dikesan awal dan dirawat dengan segera.
Pengesanan kanser payudara pada tahap 1 (peringkat awal) dapat memberikan 90 peratus kebarangkalian pulih sepenuhnya. Pengesanan pada tahap 4 (peringkat lewat) pula hanya dapat memberikan 10 peratus kebarangkalian untuk pulih.
Bagi Pengerusi Pusat Peluang Latihan Vokasional YWCA, June Yeoh yang merupakan seorang bekas penghidap kanser payudara, sokongan lelaki memberi banyak perbezaan dan sangat bermakna buat wanita.
"Diagnosis dan rawatan cuma separuh daripada perjuangan untuk pulih. Separuh lagi merupakan sokongan orang tersayang, termasuklah golongan lelaki.
"Kita tidak perlu menjadi seorang bijak-pandai untuk memahami seorang isteri memerlukan sokongan suami dalam usaha pulih kembali daripada kanser payudara," katanya.
Menurutnya, mungkin tiba masanya untuk melihat kepada apa peranan yang boleh dimainkan oleh golongan lelaki dalam menentang penyakit tersebut.
Program MenCare
Rekod kanser wanita di Semenanjung Malaysia sepanjang tahun 2003 menunjukkan kanser payudara merangkumi hampir satu pertiga (31 peratus) jumlah kanser wanita.
Lebih 50 peratus pesakit kanser payu dara di Hospital Kuala Lumpur pula dikesan pada peringkat lewat (tahap 3 atau 4), kebanyakannya wanita Melayu.
Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Ramani Gurusamy menyatakan rasa takut kepada reaksi suami merupakan antara faktor utama ramai yang lewat atau tidak menjalani pemeriksaan.
"Wanita-wanita ini khuatir akan reaksi suami mereka dan kemungkinan diabai atau ditinggalkan jika suami mengetahui mereka menghidap kanser payudara.
"Kebimbangan sebegini banyak berlaku di kawasan luar bandar, terutamanya di kalangan wanita yang bergantung sepenuhnya (dari segi ekonomi) kepada suami," katanya.
Menurut beliau, ada juga wanita yang takut suami perlu (akan) mencari isteri lain untuk menjaga anak-anak mereka.
Tambahnya, tidak kurang juga di kalangan wanita yang tidak mahu menyusahkan keluarga (dari segi emosi dan perbelanjaan rawatan).
Dengan itu, NCWO dan Pfizer (M) Sdn. Bhd., dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan MCIS Zurich Sdn., mewujudkan program MenCare.
Projek bersama ini mensasarkan golongan lelaki supaya menggalakkan wanita dalam hidup mereka menjalani ujian saringan kanser.
Projek ini didakwa sebagai yang pertama seumpamanya di dunia dan diperakui oleh inisiatif kesihatan payudara di Geneva, Switzerland. Negara-negara Asia lain juga dikatakan sedang meneliti program tersebut untuk diterap dan digunakan di negara mereka.
Diagnosis dan rawatan awal dapat meningkatkan kebarangkalian untuk pulih sepenuhnya dan prognosis lebih baik bagi wanita yang menghidap kanser payudara. Sasaran utama MenCare adalah untuk mengurangkan kejadian dan kematian akibat kanser payudara serta meningkatkan kualiti hidup pesakit yang terselamat.
Ini dapat dicapai dengan meningkatkan jumlah wanita yang menjalani ujian saringan untuk pengesanan awal dan mendapatkan rawatan segera, terutamanya melalui sokongan aktif golongan lelaki. Pada 2006, Modul Latihan MenCare setebal 500 muka surat mengenai 'sokongan dari golongan lelaki terhadap pemeriksaan kanser payudara wanita' mula diguna pakai dalam melatih pelatih bertauliah supaya mereka seterusnya boleh melatih individu lain.
Ramani dengan itu menggesa penyertaan lelaki dalam hidup seseorang wanita bekerjasama meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara dan membantu dalam usaha mencegah penyakit tersebut.
"Di dalam program (bengkel) meningkatkan kesedaran, seorang jururawat tidak mahu menerima hakikat dirinya menghidap kanser payudara. Pihak hospital terpaksa menghubungi suami. Suami jururawat itu menyatakan 'ada payudara atau tidak, saya tetap sayangkan kamu!
"Ini merupakan antara kisah di dalam bengkel MenCare yang menceritakan bagaimana sukarnya jika tiada sokongan daripada golongan lelaki," ujarnya.
Bengkel seperti itu juga dakwanya, dapat menyebarkan maklumat antara-rakan-rakan pejabat atau jiran tetangga tentang kanser payudara.
Berkongsi kisah
Selain MenCare, NCWO dan Pfizer Malaysia turut bekerjasama menghasilkan buku bertajuk 'HisHer Story' yang merupakan satu koleksi kisah pesakit kanser payudara yang terselamat dan pasangan mereka menceritakan betapa pentingnya sokongan untuk wanita yang menghadapi penyakit tersebut.
Menurut Ramani, buku tersebut sangat bagus dalam berkongsi kisah pesakit dan keluarga menghadapi masalah bersama, apa yang boleh dilakukan dan menguatkan hubungan bersama pasangan di saat-saat getir hidup.
"Buku ini menggalak dan memberikan idea tentang perkara-perkara mudah untuk (lelaki) menyokong pesakit seperti menyediakan keperluan asas harian keluarga, memegang tangan ketika berjumpa doktor, mengajak mereka menjalani pemeriksaan.
"Buku ini juga dapat mengisi kekosongan yang wujud dengan menceritakan pengalaman sebenar pesakit dan bagaimana lelaki dalam hidup mereka memberi sokongan. Ianya bukan hanya melibatkan ubat dan rawatan," tegasnya.
Menurut beliau, walaupun terdapat bermacam cerita di dalam buku tersebut, temanya tetap sama iaitu lelaki menyokong pemulihan wanita daripada kanser payu dara.
Ramani berterusan menekankan betapa penting dan kritikal sokongan golongan lelaki dan perlu difahami bahawa sokongan lelaki diperlukan bagi menggalakkan wanita menjalani pemeriksaan.
"Lelaki perlu proaktif, tiada siapa suka selalu berjumpa doktor dan ujian yang dijalankan kadangkala menyakitkan.
"Kumpulkan semua wanita dalam keluarga dan bawa mereka menjalani pemeriksaan payudara. Susah jika mengharapkan wanita pergi sendiri kerana mereka lebih mementingkan suami, anak-anak dan keluarga sebelum diri sendiri," jelasnya.
Katanya lagi, adalah lebih elok sebarang masalah dikesan awal kerana ia dapat menyelamatkan nyawa.
Tambahnya, elok juga jika wanita diperiksa untuk masalah kesihatan lain juga memandangkan terdapat banyak penyakit lain yang khusus pada golongan wanita sahaja.
Usaha memajukan dunia perubatan dan mencari penawar kanser kini perlu diseimbangkan dengan faktor kemanusiaan, yang paling utama merupakan sokongan orang tersayang.
Ramani sendiri menegaskan tiada gunanya perkhidmatan kesihatan terbaik jika pesakit sendiri tidak datang untuk pemeriksaan dan rawatan.
Namun, dalam sesetengah kes yang ekstrem, wanita berkenaan tidak mahu bercakap langsung mengenainya, sehinggakan suami tidak tahu apa yang boleh dilakukan lagi. Di sini, mereka hanya mampu mempelajari mengenai penyakit itu dan menunggu sehingga isteri bersedia menghadapinya.
Orang ramai digalakkan membaca buku HisHer Story, sama ada pesakit kanser payu dara atau cuma kenal seseorang yang menghidapinya bagi melihat bagaimana kanser payudara dihadapi individu berbeza. Buat masa ini, buku tersebut hanya diterbitkan dalam Bahasa Inggeris tetapi akan diterjemahkan ke Bahasa Melayu, Cina dan Tamil.
Untuk mendapatkan salinan buku HisHer Story percuma anda, hubungi Pfizer melalui talian 03-55686688 atau NCWO di talian 03-79543008.
No comments:
Post a Comment