Tuesday, February 10, 2009

Membina keyakinan ketika hamil

"Saya ingin kekal cantik, sihat dan bertenaga walaupun ketika hamil,'' itulah kata-kata yang diucapkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Charisma Strategy Sdn. Bhd., Hazfina Mohd. Tahir ketika menemubual di pejabatnya di Damansara Intan baru-baru ini.

Berusia 35 tahun dan bakal menyambut cahayamata kelima pada April ini, Hazfina yang mahu dikenali sebagai Fiona menyatakan menjaga kecantikan ketika hamil dianggap sebagai suntikan yang menakjubkan dalam mengharungi waktu kehamilan selama sembilan bulan 10 hari.

Memang tidak dinafikan beberapa perubahan pada diri mungkin kurang disenangi seperti penampilan bentuk badan yang semakin membesar. Ini tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyalahkan rahmat Tuhan.

Malah, satu kesilapan yang sering diamalkan oleh wanita hamil ialah tidak mengenakan sebarang alat solek atau bergaya, sedangkan solekan boleh mencetuskan keajaiban pada diri wanita hamil.

"Saya selalu percaya, mengandung atau tidak, saya mesti kelihatan cantik. Ini bukan sahaja untuk diri saya sendiri, tetapi untuk suami. Pada saya, setiap wanita sejati akan mementingkan kecantikan walau dalam keadaan apa sekalipun. Ini kerana kecantikan akan mempengaruhi kehidupan kita pada hari itu serta menambahkan keyakinan dalam berinteraksi dengan orang luar,'' ulasnya yang juga merupakan perunding imej dan kecantikan.

Justeru itu, katanya, beliau sering menetapkan satu hari dalam seminggu untuk 'hari memanjakan diri'.

"Saya akan mandi bunga dan dicampur dengan susu di dalam tab mandi serta menyalakan lilin di sekelilingnya, seolah-olah seperti berada di spa.

"Saya akan berendam selama 20 minit di dalamnya sambil skrub badan kerana apabila hamil, kulit akan berubah dan merekah. Saya lakukannya supaya kulit sentiasa mulus bersih,'' kata wanita yang berasal dari Pontian, Johor ini.

Tambahnya, keyakinan diri wanita hamil penting supaya mereka tidak hilang kawalan diri selain nampak murung dan tidak berfesyen.

"Sebab itulah juga bagi membina keyakinan itu, hampir semua pakaian mengandung, saya beli baru. Namun jangan terperanjat, hampir 60 peratus baju yang dibeli bukannya baju mengandung tetapi baju biasa kerana trend terkini lebih menjurus kepada fesyen baby doll yang sesuai untuk wanita hamil yang perutnya tidak terlalu besar.

"Saya beli baju baru untuk menimbulkan rasa seronok dan menaikkan semangat ketika mengandung di samping mengikut trend terkini.

"Saya turut membuat rawatan muka di salon sebulan sekali dan rambut setiap minggu di rumah. Saya akan meletakkan masker di rambut kerana apabila mengandung, rambut akan kering,'' ceritanya dengan nada yang lembut.

Bekas pramugari ini memberitahu, pengambilan makanan juga penting ketika hamil. Adalah dinasihatkan supaya mengambil makanan yang seimbang lagi berkhasiat.

"Pada saya adalah salah untuk menganggap apabila mengandung, seseorang wanita itu harus makan untuk dua orang iaitu ibu dan anak yang dikandung. Sebenarnya, makan untuk seorang sudah mencukupi asalkan kita mengambil makanan mengikut piramid makanan seperti sentiasa mengambil daging, sayur, susu, buah-buahan di samping pelbagai vitamin.

"Sebab itu juga saya tidak akan terlebih makan. Ini juga saya lakukan bagi memudahkan badan saya turun cepat selepas bersalin. Sehubungan itu, saya sentiasa pastikan berat badan saya tidak naik melebihi 15 kilogram ketika mengandung,'' katanya.

Menurut beliau, dirinya bertuah kerana tidak mengalami alahan seperti muntah-muntah, loya atau letih ketika mengandung ketika anak kelima ini berbanding hamil anak pertama dan kedua.

"Pada masa hamil anak pertama dan kedua dahulu, satu hari hingga tiga dan empat kali muntah, tidak lalu makan dan tidak boleh cium bau masakan,'' ujarnya yang dijangka menimang cahaya mata lelaki yang sentiasa diimpikan.

Jelas isteri kepada Firdaus Mokhtar, walaupun mempunyai pembantu rumah, beliau turut melakukan kerja-kerja rumah seperti mengelap lantai yang boleh mengeluarkan peluh.

"Kerja-kerja ini saya lakukan sebagai satu jenis senaman yang baik untuk kesihatan. Malah saya pernah melihat dokumentari, wanita hamil turut melakukan senaman di gim seperti berlari di atas treadmill kecuali senaman yang melibatkan abdomen perut.

"Bahkan melayan anak turut dianggap sebagai senaman. Oleh itu dinasihatkan ibu-ibu hamil supaya tidak hanya berehat, lakukan kerja rumah seperti biasa, ini akan membantu memudahkan proses bersalin,'' kata ibu kepada Airis Vanessa, 11; Amanda Clarissa,7; Adiva Mellissa, 6 dan Aurora Narissa, 1 1/2.

Sumber : Utusan

No comments: