Saya mengalami haid pada waktu ini, semasa saya membuang air kecil pagi tadi, terdapat darah berwarna hitam pada tuala wanita saya.
Darah haid yang keluar hanya setitik dan darah berwarna hitam itu pula terletak pada bahagian punggung saya. Ia keluar melalui dubur saya.
Apakah punca masalah yang saya alami ini? Semasa saya membuang air besar, tidak pula berasa sakit dan tidak pernah ada darah yg keluar.
Saya juga tidak mengalami kesakitan semasa darah itu keluar, ia keluar tanpa di sedari. Harap doktor dapat membalas secepat mungkin.
- Ayu, Kuala Lumpur.
JAWAPAN,
Biasanya darah (fresh blood) berwarna merah muda dan selepas beberapa lama (old blood) akan berwarna merah gelap atau kehitaman.
Anda rasa darah lama ini datang daripada dubur, tetapi kadang kala kita boleh keliru, iaitu daripada dubur atau vagina. Kemungkinan asal darah ini adalah daripada:
1) Buasir (Piles)
Pendarahan daripada buasir tidak semestinya sakit, ada kalanya darah ini keluar banyak dan kemerahan dan ada kalanya sikit dan kehitaman. Buasir ini boleh dirasai di dubur jika buasir luar (external piles) dan tidak dapat dirasai jika buasir dalaman (internal piles).
2) Fistula
Jika anda pernah mengalami kelahiran yang traumatik, kadang kala boleh terjadi fistula daripada vagina ke dubur. Maka, bila darah haid melalui daripada vagina ke dubur, ia boleh keluar sebagai darah hitam.
3) Endometriosis
Jika anda mengalami keadaan endometriosis di dubur, maka semasa datang haid, boleh juga terjadi pendarahan di dubur. Walaubagaimanapun, biasanya pendarahan ini mungkin darah merah muda (fresh blood), maka untuk mengetahui secara tepat masalah anda sebaiknya jumpa doktor pakar sakit puan. Jika masalah anda ialah buasir doktor mungkin akan rujuk anda kepada doktor pakar bedah.
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment