Persediaan Sebelum Hamil
Adakah anda bersedia untuk hamil? Kelahiran seorang bayi membawa perubahan yang amat besar dalam hidup anda. Maka seharusnya anda (suami dan isteri) menyediakan diri untuk menghadapi perubahan yang akan anda hadapi sebagai ibu-bapa.
Persediaan Fizikal
- Pastikan Ibu Sihat dan berat badan ideal
Dalam masa 3 hingga 6 bulan sebelum hamil, anda hendaklah membuat pemeriksaan doktor untuk memastikan anda sihat dari penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan lain-lain penyakit berbahaya. Ujian darah juga perlu dilakukan jika anda berisiko menjadi pembawa penyakit berbahaya seperti HIV atau talessimia.
- Umur Ibu Sesuai
Umur yang sesuai adalah antara 20 hingga 35 tahun. Ibu yang terlalu muda dianggap belum sempurna dari segi jasmani dan rohani. Oleh itu bayi mungkin dilahirkan tidak cukup bulan. Ibu yang berusia lebih 35 tahun pula, organ-organ peranakannya sudah tidak begitu aktif menerima kehamilan. Selain daripada risiko tinggi anak cacat, ibu juga mungkin alami penyakit seperti kencing manis, darah tinggi atau kesukaran melahirkan anak.
- Mendapatkan Pelalian
Pelalian seperti Rubella dan Hepatitis B sepatutnya telah diambil bagi mencegah penyakit berbahaya seperti jantung berlubang, penyakit hati, cacat anggota ataupun terencat akal bagi bayi yang akan lahir.
- Pastikan ibu makan makanan berkhasiat dan mengambil asid folik. Asid folik penting berupaya mengurangkan kecacatan pada otak dan saraf tunjang bayi sebanyak 80%. Folate banyak terkandungan dalam sayuran bayam, kacang buncis dan panjang, produk soya, kekacang, makanan diperkaya seperti jus, bijirin, buahan sitrus, ayam dan ikan.
- Jika keluarga anda punya sejarah alahan terhadap jenis makanan tertentu seperti susu, kacang atau telur, elakkan mengambil makanan tersebut. Cari alternatif kepada makanan tersebut supaya anda tetap tidak kekurangan khasiat.
- Berhenti merokok dan jauhi perokok. begitu juga dadah, dan juga alkohol. Jika anda atau pasangan bekerja dengan bahan kimia, plumbum, anestetik atau sinaran x-ray, ini juga memberi risiko pada kehamilan.
- Jika mahu mengambil ubat, dapatkan nasihat daripada doktor.
- Minta pendapat doktor anda tentang genetik dan sejarah keluarga anda.
- Jauhi jangkitan kerana sesetengahnya boleh membahayakan janin.
Persediaan Rohani dan Mental
- Kehamilan dirancang dan diingini
Setiap kehamilan hendaklah dirancang dan diingini. Bakal ibu dan bapa hendaklah menyedari tentang tanggungjawab yang harus dipikul mereka nanti. - Dapatkan ilmu
Dapatkan ilmu sebanyak mungkin tentang kehamilan, kelahiran serta penjagaan dan pendidikan anak. - Sentiasa berdoa untuk mendapat anak yang sihat, cerdik dan baik akhlaqnya. Doa yang boleh diamalkan antaranya, doa Nabi Zakaria A.S., dalam al-Quran yang maksudnya:
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepada ku dari sisimu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa pemohonan”. - Minta suami membaca doa sebelum bersama agar mereka tidak disertai oleh syaitan. Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya:
“Jika seseorang daripada kamu hendak mendekati isterinya bacalah Bismillah, Ya Allah jauhkanlah syaitan dari kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Kau rezekikan kepada kami (daripada anak-anak )”. - Jauhi tekanan.
Persediaan Kewangan
- Lihat bajet anda. Bagaimana seorang bayi boleh memberi kesan terhadap pendapatan dan perbelanjaan anda?
- Semak polisi syarikat anda bekerja. Berapa hari cuti materniti yang akan anda dapat?
- Semak insurans kesihatan anda. Adakah ia meliputi perbelanjaan perubatan semasa kehamilan dan kelahiran dan juga bayi anda?
- Amalkan tabiat menyimpan/menabung.
- Sediakan pelan kewangan untuk masa hadapan. Pastikan anda berdisiplin dan bersedia.
No comments:
Post a Comment