Thursday, November 6, 2008

Kepentingan membuang plak

RAMAI yang bersetuju bahawa wajah yang berseri datangnya daripada senyuman yang menawan.

Senyuman yang menawan pula lebih manis andainya dibarisi gigi yang sihat lagi putih berseri. Bayangkan pula wajah yang cantik, senyuman memikat namun terserlah sebaris gigi yang rosak, kehitaman atau tidak menarik? Tentu tidak sempurna bukan.

Dalam konteks perhubungan sosial hari ini, penampilan pertama sangatlah penting dalam menyerlahkan diri seseorang. Kerana itu penjagaan gigi dan kesihatan mulut amat penting.

Menurut Kajian Kesihatan Gigi Kebangsaan Malaysia di kalangan dewasa pada tahun 2000, sembilan daripada 10 rakyat Malaysia menderita akibat kaviti dan penyakit gusi. Kajian yang dijalankan sekali setiap 10 tahun itu juga menunjukkan rakyat negara ini mengunjungi doktor gigi hanya apabila mereka mengalami masalah oral.

Menurut Perunding Ortodontist, Dr. Fatimah Arshad, kebanyakan masalah gigi berpunca daripada penjagaan gigi dan mulut yang tidak betul, cara pemakanan serta pembentukan plak.

Walaupun kebanyakan daripada kita sudah memberus gigi dua kali sehari dan bertemu doktor gigi ketika perlu, namun agak menghairankan apabila masalah gigi masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

"Persoalan yang paling penting adalah, adakah kita memberus gigi dengan berkesan? Kedua, adakah kita mengambil langkah pencegahan sepatutnya seperti memilih berus gigi yang betul?" soal beliau.

Jelas Dr. Fatimah, kerana itu masyarakat perlu disedarkan tentang kepentingan membuang plak bagi menjamin kebersihan gigi dan ia seharusnya menjadi salah satu amalan kesihatan individu yang sangat penting.

"Plak adalah sekumpulan bakteria yang tidak kelihatan dan membiak serta melekat pada gigi. Ia menghasilkan asid yang boleh memusnahkan enamel gigi.

"Jika tidak dibuang, asid tadi akan merosakkan enamel gigi lalu membentuk kaviti," ujarnya sambil menambah plak juga akan merebak ke seluruh kawasan mulut.

Satu lagi penyakit yang disebabkan oleh plak adalah penyakit gusi. Ia biasanya menyebabkan gusi mengecut dan mendedahkan bahagian bawah gigi, dengan kedalaman tidak lebih dua hingga tiga milimeter.

Jika plak berkumpul dalam mulut anda, ia akan memberi kesan seperti melemahkan gusi dan menjadikannya kemerahan serta berdarah setiap kali memberus.

Proses membuang plak, kata Dr. Fatimah, tidak memerlukan teknologi tinggi. Ia hanya memerlukan pemilihan berus gigi dan gerakan memberus yang betul.

Penggunaan ubat gigi berflourida diikuti menyerat atau flos serta ubat kumur juga adalah langkah sewajarnya dalam penjagaan kesihatan gigi dan mulut.

Selain kaviti dan karies, masalah gigi yang tidak dirawat juga boleh mengundang kepada masalah yang lebih serius seperti kehilangan gigi, jangkitan dan kerosakan kepada tulang atau saraf.

Kaitan plak dan pemakanan

Menurut Dr. Fatimah, pengambilan makanan sangat penting dan mempunyai kaitan dengan kesihatan gigi.

Memilih makanan yang tidak sihat seperti tinggi kandungan gula menyumbang kepada pembentukan plak.

Kekerapan pengambilan makanan juga menyumbang kepada masalah ini. Setiap kali makanan mengandungi karbohidrat diambil, asid akan dirembes dan menghakis permukaan gigi. Lagi kerap pengambilan karbohidrat, lebih banyak peluang kepada asid untuk merosakkan gigi.

"Tidak salah andainya kita ingin memakan makanan yang manis seperti aiskrim dan coklat, tapi seeloknya ia diambil sejurus selepas menikmati makanan utama dan selepas itu kita memberus gigi untuk membuang semua plak yang terkumpul. Tapi, seandainya kita gemar mengambil snek di antara waktu makan, itulah punca utama pengumpulan plak yang seterusnya membawa kepada pelbagai masalah gigi," jelasnya.

Makanan yang mudah melekit pada gigi seperti kerepek kentang dan beberapa jenis biskut, Kata Dr. Fatimah adalah lebih buruk berbanding pengambilan gula-gula. Ia juga bergantung kepada selama mana sesuatu makanan itu kekal dalam mulut. Kepingan granola misalnya mengambil masa untuk dikunyah, ini memberi lebih banyak masa kepada asid untuk memusnahkan enamel berbanding memakan puding atau karamel.

Menurutnya lagi, makanan mengandungi kadar karbohidrat tinggi menghasilkan kurang asid apabila diambil bersama hidangan utama berbanding diambil secara individu kerana penghasilan air liur meningkat ketika makan untuk membantu meneutralkan pengeluaran asid yang melancarkan laluan makanan dari mulut ke perut.

Juga apabila diambil bersama air, makanan melekit akan 'dicuci' daripada gigi dengan cepat, mengurangkan peluang kepada asid untuk dihasilkan.

"Mulut yang bersih boleh membantu mengurangkan risiko penyakit oral seperti periodontitis yang mana boleh menyumbang kepada penyakit lain seperti serangan jantung dan diabetis," katanya.

Kesedaran

Jelas Dr. Fatimah, kesedaran di kalangan masyarakat Malaysia mengenai peri pentingnya penjagaan gigi masih kurang jika dibandingkan dengan penyakit-penyakit serius yang lain.

"Ramai beranggapan kalau tidak ada gigi kita masih boleh memakai gigi palsu. Mereka juga menganggap penyakit ini tidak membawa maut (mengancam nyawa) seperti penyakit jantung, diabetis dan sebagainya.

"Tapi perlu diingat, gigi sepatutnya (tahan) untuk seumur hidup. Mungkin ramai yang menganggap ia senang dirawat. Tapi kalau boleh dicegah, kenapa tidak dilakukan?" soal beliau.

Kerana itu menurut Dr. Fatimah, kepentingan penjagaan gigi harus ditanamkan sejak dari kecil lagi, malah menjadi keutamaan bagi ibu-ibu yang sedang mengandung.

Masalah gigi dan gusi yang lewat dirawat akan mengundang kepada keadaan yang lebih rumit.

"Saya selalu terlibat dengan kempen penjagaan gigi di kalangan ibu-ibu mengandung dan mempunyai anak kecil. Di sini saya dapati ramai ibu-ibu yang tidak mengambil berat penjagaan gigi anak mereka kerana memikirkan ia adalah gigi susu dan tidak kekal," ujarnya.

Pendapat begitu kata Dr. Fatimah tidak benar kerana ia mempengaruhi tabiat anak ketika mereka membesar dengan tidak mementingkan penjagaan gigi. Pertumbuhan gigi kekal juga menjadi tidak sempurna andainya gigi susu mereka mempunyai masalah yang teruk.

Sepatutnya ibu-ibu perlu mempraktikkan penjagaan gigi sejak dari mula tumbuh gigi pertama dengan menggunakan berus gigi yang bersesuai atau pun cukup sekadar menyental dengan kain bersih.

"Anak kecil yang hanya minum susu (bukan susu ibu) pun boleh mendapat karies susu apabila ia ditukar kepada gula ringkas yang melekat pada gigi untuk tempoh yang lama dan tidak dibersihkan," jelasnya.

Dr. Fatimah menasihatkan ibu-ibu juga perlu memastikan jadual pemakanan anak mereka teratur agar gigi mereka mudah dibersihkan.

Tiga langkah membersihkan gigi

Kebanyakan daripada kita tahu mengenai langkah asas penjagaan gigi dengan memberus, menyerat atau flos dan menggunakan ubat kumur. Namun berapa ramai yang betul-betul mempraktikkannya?

Kata Dr. Fatimah memberus sahaja tidak mencukupi andainya gerakan yang digunakan tidak betul, berus yang digunakan tidak sesuai dan tidak membuang sisa makanan di celah-celah gigi.

Menggunakan ubat kumur sahaja untuk mencuci mulut juga tidak berkesan kerana plak hanya boleh dibuang melalui gerakan mekanikal iaitu dengan cara memberus.

Jelas beliau, pemilihan berus memainkan peranan penting terhadap keberkesanan plak.

"Pilihlah berus gigi yang bersesuai dengan mulut anda dan tidak terlalu keras atau lembut. Gunakan berus yang kecil andainya memiliki bukaan mulut yang kecil bagi memudahkan capaian," katanya.

Berus gigi juga perlu ditukar dengan kerap seelok-eloknya tiga bulan sekali atau selepas mendapati ia tidak lagi berkesan.

Gerakan memberus perlu dilakukan membulat dan tidak kasar. Seandainya dilakukan dengan terlalu kuat, ia boleh mengundang kepada masalah gigi sensitif yang mana berlaku hakisan di bahagian pangkal gusi.

Saranan untuk mendapatkan gigi yang bersih dan sihat.

1. Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari atau lebih baik setiap kali selepas makan. Ini boleh mengelakkan pembiakan bakteria. Gunakan ubat gigi berflourida yang boleh menguatkan gigi. Pilih berus gigi yang baik iaitu tidak terlalu keras atau lembut.

2. Flos atau serat gigi untuk membuang sisa makanan yang tersangkut di celah-celah gigi.

3. Gunakan ubat kumur selepas memberus.

4. Amalkan pemakanan yang baik. Frekuensi pengambilan makanan perlu dijaga. Boleh gunakan gula alternatif bagi mengurangkan pembiakan bakteria pada gigi selepas makan.

5. Jumpa doktor gigi setiap enam bulan sekali. Jangan tunggu sehingga ada masalah baru mahu berjumpa.

No comments: